LAHAD DATU: Kegembiraan seorang pelancong warga Jerman menikmati aktiviti snorkeling di perairan Pulau Sakar, di sini, berakhir tragedi apabila dia meninggal dunia selepas dipercayai pengsan ketika berada di laut, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Kenneth Ray Crouse, 78, dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum rakannya bertindak memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) di lokasi kejadian.
Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, Pusat Operasi Maritim Zon Lahad Datu menerima maklumat daripada pemandu bot berhubung insiden berkenaan sebelum operasi pemindahan perubatan (MEDEVAC) segera diaktifkan.
Menurutnya, susulan laporan diterima, bot Cenderawasih 02 yang sedang menjalankan operasi berhampiran lokasi diarahkan ke kawasan kejadian bagi mengambil mangsa untuk dibawa ke Jeti Perikanan Lahad Datu.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan ketika menerima rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, Maritim Malaysia mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti rekreasi di laut, terutama melibatkan warga emas atau individu yang mempunyai masalah kesihatan.
Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kecemasan atau kejadian di laut kepada Pusat Operasi Maritim Zon Lahad Datu bagi tindakan segera. – Info X