KIULU: Pelancongan Berasaskan Komuniti (CoBT) mencatat peningkatan ketara dengan sumbangan hasil mencecah RM7 juta pada tahun lalu, berbanding RM6.7 juta pada 2023.
Mengumumkan pencapaian itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata daerah di pedalaman seperti Kiulu bersama 17 daerah lain menjadi penyumbang utama kepada peningkatan berkenaan.
Beliau berkata, inisiatif CoBT adalah antara program pelancongan sebagai antara teras penting dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Kiulu muncul sebagai antara perintis utama pembangunan CoBT.
“Saya mahu CoBT dibangunkan secara aktif kerana potensinya dalam mengembangkan dan menjana ekonomi di kawasan pedalaman negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran Tahun 2025 di Dewan Masyarakat Kiulu, di sini, pada Selasa.
Hajiji berkata, Sabah menerima seramai 923,709 pelancong pada suku pertama 2025, iaitu mencapai kira-kira 26 peratus daripada sasaran keseluruhan 3.5 juta pelawat pada tahun ini.

“Saya yakin sasaran ini bukan saja mampu dicapai, malah berpotensi untuk melebihi sasaran seperti prestasi pada 2024 dengan kehadiran 3.2 juta pelawat berbanding sasaran awal seramai 3 juta pelancong,” katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya kemudahan infrastruktur luar bandar dipertingkatkan sebagai asas untuk menyokong pertumbuhan pelancongan dan pertanian.
Katanya, infrastruktur yang baik bukan saja memberi keselesaan kepada rakyat tempatan, malah menjadi tarikan utama kepada pelancong asing dan domestik.
Sementara itu, Hajiji menyeru rakyat agar terus menyokong usaha kerajaan dalam memperkukuh pembangunan negeri, khususnya dalam sektor pelancongan yang menjadi pemangkin utama kepada ekonomi Sabah.
“Kesejahtaeraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kita. Pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan penting bagi menjamin kemakmuran dan kesejahteraan negeri ini,” katanya.
Beliau turut merakamkan tahniah kepada empat persatuan CoBT di negeri ini yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan empat universiti serta satu persatuan pelancongan dari Taiwan, termasuk Persatuan Pelancongan Kiulu.
Katanya, tiga lagi CoBT ialah Persatuan Pelancongan Tambunan, Persatuan Pengusaha Kopi Sabah dan Persatuan Komuniti Wanita Kampung Tambatuon, Kadamaian Kota Belud.
Kolaborasi itu, katanya dijangka membawa manfaat besar dalam pemindahan ilmu dan pemerkasaan komuniti pelancongan setempat.
“Daerah Kecil Kiulu seharusnya memanfaatkan sepenuhnya potensi dalam pelancongan dan pertanian sebagai pemangkin ekonomi kerana daerah ini mempunyai antara pengendali CoBT di negeri ini,” katanya.
Hajiji berkata, Persidangan Pelancongan Berasaskan Komuniti akan dianjurkan buat pertama kali oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Sabah (STB) pada Jun depan di Kota Kinabalu.
Katanya, ia sebagai satu lagi langkah strategik dalam memperkukuh sektor pelancongan Sabah.
Pada majlis itu, Ketua Menteri turut meluluskan peruntukan sebanyak RM1.1 juta untuk melaksanakan beberapa projek pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu.
Antaranya pembinaan tempat letak kereta Pekan Kiulu, pembinaan jalan raya ke Kampung Kitapol dan projek bekalan air graviti Kampung Lopot.
“Kiulu mesti dibangunkan dan aspirasi rakyat yang mahukan pembangunan berterusan dan kesejahteraan mereka mesti kita bela dan bantu,” katanya.
Hajiji turut mengisytiharkan Dewan Masyarakat Kiulu kini dinamakan sebagai Dewan Masyarakat OKK Rampas. – Info X