Search

PELANTIKAN BELIA DALAM DEWAN NEGARA WAKIL SUARA ANAK MUDA – ISMAIL SABRI

July 16, 2022

admin

TUARAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini, mengumumkan pelantikan seorang Senator bagi mewakili belia dalam Dewan Negara.

Ismail Sabri memaklumkan pelantikan berkenaan adalah sejajar dengan pengiktirafan kerajaan ke atas sumbangan golongan belia kepada pembangunan negara.

“Pandangan belia pastinya dihargai kerajaan kerana golongan ini merupakan kumpulan pelapis kepimpinan masa depan negara.

“Oleh itu, saya umumkan untuk melantik seorang Senator bagi mewakili belia di Dewan Negara agar suara serta pandangan belia turut akan diambil kira.

“Saya percaya dengan adanya wakil belia di Dewan Negara, suara belia akan kita dengari secara terus dari wakil belia kerana masa depan negara bergantung kepada warga belia,” katanya ketika melancarkan sambutan Hari Belia Negara 2022 peringkat Kebangsaan di Padang Pekan Tuaran hari ini.

Yang turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin.

Sementara itu, Ismail Sabri juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) untuk dikongsikan bersama pertubuhan belia lain untuk melaksanakan aktiviti masing-masing.

“Banyak lagi program yang diatur dan dirancang termasuk kempen-kempen dan pelbagai program lain.

“Saya dimaklumkan dari segi pentadbiran sudah diberikan peruntukan sebanyak RM1 juta tapi untuk aktiviti termasuk pertubuhan belia lain di bawah MBM tiada,” katanya. – Info X