KOTA KINABALU: Pelantikan Datuk Ruji Ubi sebagai Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) di Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilihat sebagai suatu pengiktirafan terhadap kreadibiliti anak Sabah, sekaligus membuktikan kerajaan Persekutuan semakin membuka ruang kepada orang Borneo untuk menjawat jawatan penting di kementerian kanan.
Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS), Mohd Zaki Harry Susanto berkata pelantikan itu bukan bertujuan untuk mengambil hati orang Sabah.
“Ia juga diyakini berdasarkan kemampuan serta pengalaman luas Datuk Ruji sendiri.
“Pemilihan Datuk Ruji selaku KSU adalah tepat dan penempatan beliau di KDN juga suatu keputusan yang bijak.
“Dengan pengalaman luas beliau ketika menjawat pelbagai jawatan kanan sebelum ini, kita yakin beliau boleh memberikan nasihat yang tepat dan bernas berkaitan keselamatan dalam negara khasnya di Sabah.
“Kita juga yakin, Datuk Ruji boleh mengangkat martabat semua agensi di dalam KDN ke tahap lebih tinggi,” katanya Beliau berkata demikian dalam kenyataan media, di sini, hari ini. – Info X