KOTA KINABALU: Tan Sri Musa Aman hampir pasti bakal menjadi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu menggantikan Tun Juhar Mahiruddin.
Ia berdasarkan sepucuk surat dari Bahagian Istiadat dan Protokol, Jabatan Ketua Menteri Sabah yang tular hari ini meminta Pengurus Kanan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) membuat persiapan menyambut ketibaan Musa di Terminal Dua KKIA, pada Rabu ini.
Tarikh itu sejajar Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Kepada TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah yang dikatakan diadakan esok, 17 Dec 2024, jam 9.30 pagi hingga 11 pagi di Singgahsana Kecil, Istana Negara.
Pemberitahuan mengenai tarikh istiadat itu tersebar di media sosial pada minggu lalu serentak dengan khabar angin pemilihan Musa sebagai TYT yang baharu bagi menggantikan Tun Juhar.
Surat dari Bahagian Istiadat dan Protokol, Jabatan Ketua Menteri Sabah hari ini bagaimanapun tidak menyebut jawatan Musa, namun menulis gelaran ‘Tun’ di hadapan namanya dalam perkara surat rasmi itu.
Perkara surat itu menyatakan Majlis Ketibaan Tun Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, manakala kandungannya antara lain menyebut ketibaan Musa dengan pesawat khas di Bilik Orang Kenamaan, Terminal Dua KKIA pada jam 11.30 pagi, 18 Disember 2024 iaitu Rabu ini.
Difahamkan, surat berkenaan yang tular di media sosial hari ini adalah betul dan secara tidak rasmi mengesahkan Musa bakal dilantik sebagai TYT baharu Sabah. – Info X