KOTA KINABALU: Jemaah Kabinet Sabah bersetuju melaksanakan pelarasan gaji perkhidmatan awam negeri selaras dengan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pelarasan itu akan dilaksanakan dalam dua fasa bermula dengan fasa pertama pada 1 Disember depan, manakala fasa kedua pada 1 Januari 2025.
Jelasnya, pelarasan gaji itu membabitkan seramai 21,228 penjawat awam negeri dan 2,116 pekerja sambilan harian dengan jumlah keseluruhan peruntukan lebih RM149 juta.
“Pelarasan gaji kepada seramai 21,228 penjawat awam negeri akan dilaksanakan pada 1 Disember 2024 bagi fasa pertama dan 1 Januari 2025 bagi fasa kedua dengan melibatkan peruntukan keseluruhan RM103,020,059.66.
“Kabinet negeri juga bersetuju untuk menyelaraskan kadar gaji pekerja sambilan harian negeri kepada minimum RM1,725 sebulan serta penambahbaikan faedah sedia ada mulai 1 Disember depan.
“Pelarasan gaji untuk 2,116 pekerja sambilan harian akan membabitkan kos sebanyak RM46,096,140.
“Jumlah keseluruhan peruntukan bagi penyelarasan gaji perkhidmatan awam negeri dan pekerja sambilan harian ialah RM149,116,199.66,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini.
Pada 16 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan SSPA sebagai sistem saraan baharu perkhidmatan awam Persekutuan bagi menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) yang dilaksanakan ketika ini.
Hajiji menyifatkan pelarasan gaji itu sebagai manifestasi pengiktirafan kerajaan negeri terhadap sumbangan kakitangan perkhidmatan awam negeri dan pekerja sambilan harian kepada agenda pembangunan negeri.
Jelasnya, ia juga bagi membantu meringankan kos sara hidup harian penjawat awam negeri yang semakin meningkat. – Info X