RANAU: Kerajaan mengambil pelbagai inisiatif bagi meningkatkan tahap sara diri (SSL) hasil pertanian terutama padi bagi memperkukuhkan keterjaminan makanan di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi di Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) negeri bagi membincang dan menangani isu berkaitan keterjaminan makanan.
“Ini kerana Sabah pada masa ini hanya mencapai SSL bagi tanaman padi sebanyak 22.8 peratus sahaja dan selebihnya masih bergantung kepada bekalan beras dari sumber luar atau beras import.
“Pada masa sama, keadaan cuaca yang tidak menentu amat memberi kesan terhadap hasil pertanian, termasuk di negeri ini.
“Justeru, pada 17 April lalu, Kabinet negeri bersetuju menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah sebagai sebahagian inisiatif meningkatkan pengeluaran dan keselamatan makanan di negeri ini.
“Ia juga antara usaha kerajaan negeri meningkatkan tahap sara diri beras,” katanya dalam ucapan sempena Pelancaran Sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri di Dewan Masyarakat Ranau, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Hajiji berkata, pemberian insentif pembajakan dawah padi dengan peruntukan sebanyak RM18 juta juga dilaksanakan sebagai antara inisiatif dalam Belanjawan 2024.
Katanya, inisiatif lain yang turut diambil termasuk pemulihan tanah sawah terbiar, pembangunan padi tanah kering, penambahan bilangan jentera pembajak dan jentuai, pemberian baja pada kadar optimum serta pemberian subsidi penjualan padi kepada semua pengusaha dengan peruntukan RM5.16 juta.
Bagi meningkatkan lagi pengeluaran tanaman, beliau berkata kerajaan negeri melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Sawit Kinabalu turut mengambil bahagian dalam penanaman padi dengan kaedah moden untuk meningkatkan tanaman padi dan bekalan beras tempatan.
Katanya, Sawit Kinabalu menyediakan kawasan yang sesuai khusus penanaman padi.
“Ini adalah sebahagian daripada inisiatif kita dan banyak lagi yang lain akan dilaksanakan bagi memastikan pengeluaran serta keterjaminan makanan di negeri ini dapat ditingkatkan.
“Saya juga berharap pemain sektor pertanian, penternakan dan perikanan supaya terus meningkatkan pengeluaran hasil bagi menyediakan bekalan makanan mencukupi kepada masyarakat dan paling penting ambil segala peluang menerusi pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan negeri,” katanya.
Mengenai sambutan Pesta Kaamatan, beliau berkata pesta itu adalah salah satu acara penting kepada rakyat Sabah yang diraikan setiap tahun pada Mei khususnya oleh masyarakat Kadazandusun Murut dan Rungus.
“Pesta Kaamatan ini bukan sahaja bertujuan mengeratkan silaturahim dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama sebaliknya juga bagi menyatakan rasa kesyukuran di atas hasil tuaian yang baik,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha dalam membantu meningkatkan taraf hidup dan sosio ekonomi masyarakat.
“Bagaimanapun masih ada suara-suara segelintir kumpulan yang tidak bertanggungjawab mempelekeh dan menyalahkan apa juga usaha-usaha murni kerajaan.
“Saya yakin rakyat kini lebih matang dan tidak mudah terpengaruh. Saya menyeru agar rakyat terus bersama kerajaan mengekalkan kestabilan politik dan kemajuan ekonomi demi kelancaran pembangunan Sabah,” katanya. – Info X