PUTRAJAYA: Keputusan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke untuk menawarkan diri meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan adalah keputusan muktamad Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu dan perlu dihormati.
Timbalan Setiausaha Agung CEC DAP Hannah Yeoh berkata mesyuarat CEC pada Sabtu lepas turut mendengar pelbagai cadangan dan pandangan sebelum keputusan itu dibuat.
“CEC telah bermesyuarat lama dan pelbagai cadangan diberikan serta pendapat yang kami dengar. Keputusan akhir, iaitu keputusan muktamad CEC, sebagai badan pembuat keputusan tertinggi memutuskan Anthony Loke menawarkan diri untuk meletak jawatan.
“.. dan itu adalah keputusan CEC. Perbincangan lain saya tak nak dedahkan kerana itu adalah dalam perbincangan CEC tetapi kami kena hormati keputusan yang dibuat CEC,” katanya pada sidang media mengenai Bazar Deepavali 2026 di sini, pada Isnin.
Hannah berkata demikian sebagai reaksi terhadap keputusan CEC DAP selepas mesyuarat berhubung pendirian parti terhadap isu pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada Sabtu lepas, Loke menawarkan diri meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan pendirian DAP berhubung pengampunan bersyarat terhadap Najib.
Loke berkata peletakan jawatan itu hanya melibatkan dirinya selaku ahli Jemaah Menteri manakala menteri dan timbalan menteri lain daripada DAP akan kekal dalam kerajaan bagi memastikan kestabilan politik negara terus terjamin.–BERNAMA