Search

Pemain tempatan Sabah jadi tonggak baharu Sang Badak musim 2025/2026

May 16, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kesebelasan utama Sabah FC bakal dibarisi lebih ramai pemain tempatan, termasuk muka baharu dari negeri ini pada musim baharu 2025/2026.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata ia antara kelainan yang bakal disaksikan peminat Sabah FC apabila bermulanya saingan Liga Super musim ini.

Beliau menyatakan harapan agar pemain tempatan itu nanti dapat mengekalkan prestasi Sabah FC sebagai antara pasukan terbaik Liga Super setelah mengekalkan kedudukan ketiga terbaik tiga musim berturut-turut.

“Harapan saya selaku Presiden SAFA untuk pasukan Sabah FC pada musim ini sudah tentu kita mahu ia masih dapat mempamerkan prestasi yang kompetitif.

“Apa yang menjadi kelainan pada musim ini adalah kita akan cuba mengetengahkan lebih ramai muka baharu atau pemain tempatan yang berasal dari Sabah menganggotai kesebelasan utama Sabah FC,” katanya.

Shahelmey bersama pengurusan SAFA, Sabah FC, redONE Mobile dan pemain pada Majlis Menandatangani Perjanjian Rakan Strategik Sabah FC-redONE Mobile.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Rakan Strategik di antara Sabah FC dan RedOne Mobile Network, di sini, pada Jumaat.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata pengurusan Sabah FC akan menentukan peratusan pemain tempatan dari Sabah berbanding pemain lain dalam perbincangan pihak pengurusan dan jurulatih Sabah FC nanti.

“Perkara ini belum dimuktamadkan lagi, nanti pihak pengurusan dan jurulatih Sabah FC akan memuktamadkannya.

“Tapi sudah pasti inilah antara pendekatan yang kita utamakan ataupun tema kita pada tahun ini iaitu untuk mengetengahkan lebih ramai pemain yang berasal dari Sabah,” katanya.

Mengenai kedudukan ketua jurulatih, Shahelmey berkata Sabah FC masih mengekalkan khidmat Martin Stano selaku pengendali baharu pasukan menggantikan Datuk Ong Kim Swee sebelum ini.

Sementara itu, katanya status pemain import Sabah pada musim ini juga akan dimuktamadkan mengikut syarat dan kriteria yang ditetapkan dalam perbincangan pengurusan pasukan.

Sebelum ini, katanya Sabah FC dibarisi enam pemain import daripada sembilan orang yang dibenarkan, namun jumlah baharu nanti akan diumumkan setelah perbincangan mengenainya selesai. – Info X