PENAMPANG: Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal di Kilometer 10, Jalan Papar – Kota Kinabalu, dekat pusingan U, Taman Bersatu, Putatan, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta dengan motosikal, pada jam 11.15 malam.
Katanya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun dari arah Kota Kinabalu menuju ke Petagas, Putatan.
“Sebaik tiba di lokasi, kereta berkenaan membuat pusingan U, menuju ke Taman Bersatu, telah berlaku perlanggaran dengan sebuah motosikal yang dipercayai dari arah Ketiau menuju ke Kota Kinabalu.

“Akibat daripada perlanggaran itu, mangsa penunggang motosikal lelaki tempatan berusia 24 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat.
“Pemandu kereta tidak mengalami kecederaan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Beliau berkata, polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan dan berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133.
Katanya, polis ingin menasihatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu di jalan raya dan meminta supaya tidak menularkan sebarang imej atau klip video tempat kejadian di rangkaian media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa. – Info X