BEAUFORT: Seorang pemandu maut tersepit apabila kenderaan dipandunya terbabas dan melanggar tiang elektrik sebelum terbalik di Kilometer 32, Jalan Beaufort – Menumbok di Kampung Kapayan Skim, Kuala Penyu, petang tadi.
Dalam kejadian jam 3.50 petang itu, mangsa lelaki berusia 38 tahun yang beralamat di Taman Seri Gaya, Kota Kinabalu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Wong Leong Meng berkata, siasatan lanjut di lokasi kejadian mendapati kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu mangsa dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju ke Menumbok.
“Setibanya di lokasi kejadian, ketika kenderaan yang sedang bergerak lurus sedikit, tiba-tiba kenderaan dipandu mangsa terbabas ke tepi bahu jalan sebelah kanan dan melanggar tiang elektrik lalu terbalik.

“Mangsa tersepit di dalam kenderaan dan dikeluarkan oleh pasukan bomba. Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Penyu akibat parah di bahagian kepala,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Beaufort untuk urusan bedah siasat.
“Siasatan masih diteruskan termasuk mengesan saksi bebas untuk membantu siasatan pihak polis.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X