Search

Pembenihan awan diteruskan jika kemarau berpanjangan – Hajiji

April 4, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Operasi pembenihan awan yang dilaksanakan di Papar, Tawau dan Lahad Datu pada akhir bulan lalu akan diteruskan jika situasi panas dan kering berpanjangan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata, usaha itu penting bagi membantu mengurangkan masalah air yang berlaku di beberapa kawasan negeri ini.

“Kita akan terus membuat pembenihan awan jika cuaca (panas) ini berterusan dan kita akan melakukannya dari semasa ke semasa sehingga ia boleh membantu mengurangkan bebanan bekalan air di beberapa kawasan di Sabah.

“Bagaimanapun, ini terpulang kepada mereka yang pakar dalam hal ini kerana pembenihan awan memerlukan jenis awan yang sesuai untuk menurunkan hujan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kuih-Muih Hari Raya Aidilfitri kepada anggota keselamatan dan petugas kesihatan di, Dewan Auditorium Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Hajiji berkata operasi pembenihan awan adalah antara ikhtiar dilakukan kerajaan negeri untuk menghadapi kemarau yang melanda ketika ini.

Katanya, kerajaan negeri mengambil keputusan untuk melakukan pembenihan awan bagi menghasilkan hujan agar dapat mengurangkan kesan kemarau yang dihadapi penduduk.

Beliau berkata, usaha yang membabitkan khidmat dan kepakaran Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu membuahkan hasil yang positif berdasarkan hujan di beberapa kawasan selepas operasi itu dijalankan.

“Kerja-kerja pembenihan awan dilaksanakan pada penghujung Mac lalu dan nampaknya pendekatan itu dapat menghasilkan kesan yang positif.

“Inilah usaha dan ikhtiar kita dalam menghadapi bencana kemarau ketika ini,” katanya.

Operasi pembenihan awan yang dijalankan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan TUDM pada 28 hingga 30 Mac lalu dilapor berjaya menurunkan hujan di sekitar Lahad Datu, Tawau dan Papar.

Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri sentiasa menghargai dan memberi pengiktirafan kepada pasukan dan agensi keselamatan yang sentiasa memberikan keterjaminan aspek keselamatan sosial, ekonomi dan kesejahteraan rakyat serta negara.

Katanya, jasa bakti pasukan keselamatan yang berkorban masa, jiwa dan raga dalam memastikan persempadanan negara terkawal dan selamat, di samping situasi dalam negara aman dan tenteram, membolehkan rakyat hidup dalam keadaan lebih selamat, selesa serta rukun dan damai.

Sebanyak 15 pasukan keselamatan dan petugas kesihatan menerima sumbangan kuih-muih pada tahun ini, termasuk dua penerima baharu iaitu Jabatan Imigresen Sabah dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah.

Hajiji berkata, sebanyak 33 agensi kerajaan terdiri daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi negeri serta persekutuan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun dan badan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam pembungkusan dan penyerahan kuih muih Hari Raya kali ini. – Info X