KOTA KINABALU: Pemberian Khas interim RM1.5 bilion dari kerajaan Persekutuan kepada Sabah tidak pernah dianggap sebagai pengganti kepada penyelesaian tuntutan 40 peratus negeri ini seperti didakwa sesetengah pihak.
Menegaskan perkara itu, Setiausaha Akhbar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Ahmad Farid Sainuri, berkata jumlah itu adalah bayaran sementara sehingga proses menentukan nilai sebenar Pemberian Khas Sabah dimuktamadkan.
“Justeru, persoalan mengenai formula, nilai sebenar dan mekanisme pelaksanaan bukanlah perkara yang diketepikan.
“Itulah proses utama yang sedang dimuktamadkan di antara Kerajaan Sabah melalui Setiausaha Kerajaan Negeri, Kementerian Kewangan Sabah dan Kerajaan Persekutuan melalui Ketua Setiausaha Perbendaharaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau merujuk kepada laporan media bertajuk ‘Kalau mahu pembayaran RM1.5 bilion interim diteruskan, kekalkan Kerajaan Madani’ yang disiarkan di beberapa portal berita tempatan sejak Ahad lalu.
Ahmad Farid berkata, keutamaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berhubung penyelesaian tuntutan 40 peratus Sabah adalah jelas dan kekal.
Katanya, Mustapha bertegas bahawa sebarang hal yang berkaitan dengan hak Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu diselesaikan secara berkesan mengikut lunas perlembagaan tanpa menjejaskan perpaduan negara.
“Untuk pengetahuan umum, kenyataan Mustapha sebelum ini dipetik di luar konteks sehingga menimbulkan gambaran seolah-olah hak perlembagaan Sabah dikaitkan dengan sokongan politik kepada Kerajaan MADANI.
“Apa yang ingin ditegaskan beliau adalah kesungguhan pentadbiran Kerajaan MADANI memenuhi keperluan Sabah dengan meningkatkan pembayaran interim hingga mencecah jumlah yang tidak terjangkau selama ini.
“Di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, jumlah itu meningkat daripada RM300 juta pada 2023 kepada RM600 juta pada 2024 dan kini RM1.5 bilion setahun,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan bayaran interim itu adalah bukti kerjasama erat antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan dalam mencari jalan penyelesaian terhadap perkara-perkara berkaitan hak serta kepentingan rakyat Sabah.
“Penegasan terhadap rekod pentadbiran ini sama sekali tidak bermaksud hak Sabah diletakkan sebagai syarat kepada sokongan politik,” katanya.
Ahmad Farid berkata, hak Sabah kekal sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk perkara berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah. – Info X