Search

Pemberian Khas: RM600 juta daripada RM1.5 bilion sudah dibayar kepada Sabah – MOF

July 10, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebanyak RM600 juta sudah dibayar kepada kerajaan negeri daripada keseluruhan RM1.5 bilion Pemberian Khas yang diberikan Kerajaan Persekutuan kepada Sabah pada tahun ini.

Bayaran itu dibuat pada 12 Jun lalu seperti dijelaskan Kementerian Kewangan (MOF), sebagai sebahagian daripada amaun baharu Pemberian Khas kepada Sabah yang dipersetujui di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah.

Perkara itu dijelaskan oleh MOF dalam jawapan bertulis terhadap soalan lisan yang dikemukakan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau ketika Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, pada Isnin.

MOF menjelaskan baki sebanyak RM900 juta lagi akan disalurkan selepas Perintah Pemberian Khas baharu berkuatkuasa.

“Beberapa proses dan prosedur perlu diselesaikan terlebih dahulu melibatkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.

“Draf Perintah Yang di-Pertuan Agong perlu digubal dan diwartakan selaras dengan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan,” jelas MOF.

Pada Isnin lalu, Madius meminta MOF menyatakan bila pembayaran khas interim RM1.5 bilion dilaksanakan dan sama ada ia adalah sebahagian daripada pembayaran 40 peratus hak Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Jika ya katanya, bilakah bayaran selebihnya akan dilaksanakan, manakala sekiranya tidak berapakah dan bilakah pembayaran 40 peratus hak perlembagaan rakyat Sabah dilaksanakan.

MOF menjelaskan, kerajaan Persekutuan melalui platform Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) terus berunding bagi menambah baik Pemberian Khas kepada Sabah dengan mengambil kira formula 40 peratus hasil Persekutuan di Sabah serta mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 112D.

Kementerian itu turut menjelaskan di bawah Kerajaan MADANI, Pemberian Khas kepada Sabah telah dinaikkan secara berperingkat daripada RM125.6 juta pada 2022 kepada RM300 juta pada 2023, seterusnya hampir sekali ganda kepada RM600 juta pada 2025 dan kini RM1.5 bilion seperti diumumkan Perdana Menteri pada 30 Mei lalu.

Pada masa sama, MOF berkata kerajaan Persekutuan dan Sabah masih meneruskan rundingan bagi merumuskan kaedah baharu menentukan amaun pemberian khas pada masa depan dengan mengambil kira keperluan kewangan Sabah berkaitan kos perkhidmatan negeri.

“Sebarang pelaksanaan formula 40 peratus hasil Persekutuan kepada Sabah perlu dilaksanakan secara teratur, berlandaskan undang-undang dan memenuhi semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya. – Info X