KOTA KINABALU: Pembinaan struktur bangunan di Gunung Kinabalu yang tular di media sosial baru-baru ini disahkan sebagai sebahagian daripada projek Pusat Latihan Altitud Tinggi (HATC) yang mendapat kelulusan pihak berkuasa.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Arifin, berkata projek itu bertujuan meningkatkan kemudahan pendakian gunung tanpa mengabaikan aspek pemuliharaan alam sekitar dan kepentingan budaya di Gunung Kinabalu.
Beliau berkata, pembangunan itu membabitkan penyediaan kemudahan penginapan asas bagi menyokong latihan khusus di altitud tinggi dan aktiviti pendakian gunung.
“Ini bukan pembangunan yang baru dirancang atau tanpa perancangan. HATC pada asalnya dicadangkan menerusi Pelan Pembangunan Taman Kinabalu pada 2015, namun pelaksanaannya ditangguhkan berikutan gempa bumi yang melanda Gunung Kinabalu pada tahun berkenaan.
“Inisiatif itu kemudiannya diaktifkan semula dan dilancarkan secara rasmi pada 2025 sebagai sebahagian daripada usaha Sabah mempelbagaikan produk pelancongan serta memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pendakian gunung yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Jafry menegaskan projek berkenaan sudah memperoleh kelulusan yang diperlukan daripada Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah selain mendapat sokongan Majlis Penasihat Adat Anak Negeri Gunung Kinabalu.
Katanya, penglibatan badan penasihat adat itu mencerminkan kepentingan menghormati nilai budaya dan kerohanian Gunung Kinabalu kepada masyarakat pribumi.

“Gunung Kinabalu bukan sekadar destinasi pelancongan. Ia adalah sebahagian daripada warisan alam semula jadi dan budaya Sabah yang penting dan mempunyai hubungan erat dengan tradisi, kepercayaan serta identiti masyarakat pribumi kita.
“Sebarang pembangunan di kawasan ini mesti mengiktiraf dan menghormati nilai berkenaan. Peluang ekonomi dan kemajuan sektor pelancongan tidak boleh sesekali mengorbankan warisan budaya kita,” katanya.
Mengulas kebimbangan mengenai kesan pembinaan itu terhadap alam sekitar, Jafry menjelaskan pembangunan berkenaan menggunakan bahan binaan ringan, pasang siap dan modular bagi meminimumkan gangguan terhadap persekitaran sekeliling.
Struktur berkenaan, katanya direka bentuk untuk menahan tiupan angin kencang serta keadaan cuaca mencabar di kawasan altitud tinggi, selain mengelakkan penggunaan jentera berat sepanjang kerja pembinaan.
“Kaedah pembinaan ini dipertimbangkan dengan teliti bagi meminimumkan gangguan terhadap alam sekitar, di samping memastikan kemudahan berkenaan kukuh dari segi struktur dan sesuai dengan keadaan di altitud tinggi.
“Perlindungan alam sekitar kekal menjadi keutamaan asas. Kita tidak akan berkompromi terhadap keutuhan ekologi Gunung Kinabalu demi pembangunan pelancongan,” katanya.
Jafry turut menegaskan kementeriannya akan memastikan semua aktiviti pembinaan mematuhi sepenuhnya spesifikasi yang diluluskan, keperluan alam sekitar serta undang-undang dan peraturan berkaitan.
“Walaupun projek ini sudah memperoleh kelulusan yang diperlukan, ia tidak mengecualikan mana-mana pihak daripada mematuhi syarat yang ditetapkan, spesifikasi teknikal serta keperluan kawal selia.
“Kementerian akan memastikan semua spesifikasi yang diluluskan dipatuhi sewajarnya dan pelaksanaan projek kekal selaras dengan piawaian alam sekitar serta keselamatan yang ditetapkan bagi kawasan warisan alam semula jadi yang sensitif dan mempunyai kepentingan antarabangsa seperti ini.
“Kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar syarat ditetapkan atau gagal mematuhi undang-undang dan peraturan berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, kementeriannya turut menimbangkan pelaksanaan siasatan menyeluruh dengan kerjasama Taman-Taman Sabah serta pihak berkuasa berkaitan bagi mengesahkan semua aktiviti pembinaan dilaksanakan sepenuhnya mengikut keperluan yang berkuatkuasa.

“Kita memandang serius kebimbangan yang disuarakan orang ramai. Kementerian akan menimbangkan siasatan menyeluruh bagi memastikan sama ada semua spesifikasi yang diluluskan, langkah perlindungan alam sekitar serta syarat kawal selia dipatuhi sepenuhnya.
“Saya ingin menegaskan bahawa kelulusan awal bukan bermaksud kebenaran tanpa batas untuk melaksanakan pembangunan. Setiap peringkat pelaksanaan mesti tertakluk kepada undang-undang, peraturan dan syarat yang mengawal perlindungan Gunung Kinabalu.
“Sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan, kementerian tidak akan teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan yang diperlukan mengikut undang-undang. Tanggungjawab kita bukan sekadar memudah cara pembangunan, tetapi memastikan pembangunan dilaksanakan secara bertanggungjawab, telus dan dengan akauntabiliti sepenuhnya,” katanya.
Jafry menjelaskan, HATC bertujuan menyediakan persekitaran latihan khusus kepada pendaki gunung yang membuat persediaan untuk ekspedisi ke destinasi altitud lebih tinggi, termasuk Gunung Kilimanjaro, Aconcagua dan Gunung Everest.
Kemudahan itu, katanya akan menyokong proses penyesuaian tubuh terhadap altitud, latihan teknikal pendakian gunung serta pendedahan kepada penggunaan peralatan pendakian khusus, sekali gus membuka peluang kepada komuniti pendaki tempatan dan antarabangsa.
Katanya, Gunung Kinabalu mempunyai kelebihan tersendiri berikutan aksesibilitinya, infrastruktur pendakian yang sedia ada serta landskap geologi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Dengan kedudukannya yang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Gunung Kinabalu menawarkan persekitaran latihan pendakian khusus yang lebih mudah diakses dan menjimatkan kos.
“HATC turut membuka peluang untuk menarik kelab serta organisasi pendakian gunung antarabangsa, sekali gus mewujudkan manfaat ekonomi tambahan kepada masyarakat setempat dan industri pelancongan secara keseluruhan,” katanya.
Beliau menambah, inisiatif berkenaan turut menyokong matlamat lebih luas Kinabalu UNESCO Global Geopark melalui penggalakan geopelancongan secara bertanggungjawab, kesedaran alam sekitar serta pembangunan pelancongan mampan.
Bagaimanapun, Jafry menegaskan semua aktiviti pembangunan mesti kekal selaras dengan tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk melindungi alam semula jadi dan warisan budaya Gunung Kinabalu.

Beliau turut mengakui kebimbangan yang disuarakan pihak berkepentingan dalam sektor pelancongan serta orang ramai susulan penyebaran gambar aktiviti pembinaan di gunung berkenaan.
“Saya mengalu-alukan keprihatinan dan minat orang ramai dalam usaha melindungi Gunung Kinabalu. Keprihatinan sedemikian mencerminkan rasa tanggungjawab dan pemilikan yang tinggi dalam kalangan rakyat Sabah terhadap warisan alam semula jadi yang luar biasa ini.
“Bagaimanapun, perbincangan awam juga perlu berpandukan maklumat tepat serta pemahaman jelas mengenai tujuan dan skop pembangunan berkenaan.
“Projek ini bertujuan menambah baik kemudahan asas pendakian menerusi pendekatan terkawal dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar, di samping menghormati tradisi budaya yang berkaitan dengan gunung ini,” katanya.
Jafry menegaskan semula komitmen Kerajaan Sabah untuk memastikan pembangunan pelancongan dan pemuliharaan alam sekitar bergerak seiring.
“Pendekatan kita jelas. Pembangunan tidak boleh sesekali mengorbankan usaha pemuliharaan, begitu juga kemajuan tidak boleh mengetepikan nilai budaya dan tradisi masyarakat kita.
“Gunung Kinabalu adalah lambang identiti Sabah serta warisan alam semula jadi yang mempunyai kepentingan di peringkat antarabangsa. Tanggungjawab kita adalah melindungi keutuhannya, sambil memastikan sebarang penambahbaikan yang dilaksanakan mempunyai tujuan bermakna dan mampan.
“Kita perlu mencari keseimbangan tepat antara kemajuan dan pemeliharaan kerana nilai sebenar Gunung Kinabalu bukan hanya terletak pada potensi pelancongannya, tetapi juga pada warisan alam semula jadi dan budaya yang perlu kita pelihara untuk generasi akan datang,” katanya. – Info X