Search

Pembuat roti canai disamun, dirogol sebelum dibunuh

November 14, 2023

Junaidi Ladjana

LAHAD DATU: Seorang wanita yang bekerja sebagai pembuat roti canai bukan sahaja disamun, dirogol malah dibunuh sebelum mayatnya ditemui di dalam kawasan semak, sebuah kebun pisang di Kampung Pisang, di sini, hari ini.

Lebih kejam, wanita warga asing berusia 36 tahun itu ditemukan dalam keadaan separuh bogel oleh ahli keluarganya, jam 8.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat itu pada jam 8.26 pagi.

Katanya, siasatan awal ditempat kejadian mendapati mayat wanita berusia 36 tahun itu ditemukan oleh ahli keluarganya kira-kira 600 meter dari rumahnya.

Barang mangsa yang ditemui di lokasi kejadian di dalam kawasan semak, sebuah kebun pisang di Kampung Pisang, Lahad Datu. – Foto/PDRM

“Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan separuh bogel dengan kesan kelar di leher, selain luka di bahagian kepala akibat hentakan objek tumpul.

“Polis juga tidak menolak kemungkinan mangsa turut dirogol berdasarkan kesan air mani yang ditemukan pada bahagian kemaluannya,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Selain itu, katanya polis mendapati telefon bimbit dan wang tunai di dalam dompet mangsa juga didapati hilang dalam kejadian itu.

“Menurut saksi mangsa yang merupakan ibu kepada lima orang anak terbabit keluar dari rumahnya pada jam 6.15 pagi untuk pergi bekerja sebagai pembuat roti canai di sebuah restoran.

“Suami mangsa bekerja di Semenanjung dan mangsa seperti rutin hariannya menggunakan laluan pejalan kaki di sebuah kawasan semak kebun pisang berkenaan untuk pergi dan balik kerja.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad.

“Bagaimanapun, pemilik restoran berkenaan menghubungi keluarga mangsa untuk mengetahui keberadaannya.

“Sangsi dengan makluman itu, ahli keluarga mangsa kemudian berusaha mencarinya, sebelum menemukan mayatnya di kawasan semak berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi tujuan bedah siasat dan siasatan lanjut.

Dr Rohan berkata, polis sedang berusaha mengesan suspek dalam kejadian ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Lokasi mangsa wanita ditemui oleh ahli keluarganya. – Foto/PDRM

“Polis memohon kerjasama daripada orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini supaya menghubungi Balai Polis berhampiran.

“Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, Asisten Superintendan Khairuddin Husain di talian 013-9071709,” katanya. – Info X