Search

Pemenang pingat Sukan SEA, Para ASEAN 2025 terima insentif RM383,116

May 19, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri pada Selasa menyampaikan insentif kemenangan sukan berjumlah RM383,116 kepada seramai 57 atlet Sabah yang memenangi pingat pada Sukan SEA Ke-33 dan Para ASEAN Ke-13 di Thailand pada tahun lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM146,500 adalah insentif kemenangan bagi Sukan SEA Ke-33, manakala sebanyak RM236,616 insentif kemenangan kepada atlet Para ASEAN Ke-13.

Pada kejohanan Sukan SEA Ke-33, seramai 91 atlet dari Sabah mewakili negara dan membantu kontinjen Malaysia memenangi lima pingat emas, 14 perak dan 11 gangsa.

Bagi temasya sukan Para ASEAN Ke-13 pula, seramai 22 atlet para Sabah terpilih dan berjaya membawa pulang kejayaan besar untuk negara dengan 14 pingat emas, sembilan perak dan empat gangsa.

Insentif kemenangan sukan itu disampaikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada majlis penyampaian insentif kemenangan di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini.

Dalam ucapannya, Hajiji menzahirkan harapan agar insentif itu menjadi pembakar semangat untuk atlet Sabah terus melangkah lebih jauh bagi mencapai tahap yang lebih tinggi.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada kerja keras jurulatih dan sokongan keluarga atlet yang disifatkannya sebagai tunjang kejayaan mereka.

“Kerajaan negeri sangat berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh kesemua atlet negeri Sabah yang mengambil bahagian dan mencipta kemenangan pingat pada Temasya Sukan SEA Ke-33 dan Para ASEAN Ke-13 di Thailand.

“Kerajaan Sabah juga berbangga dengan pencapaian cemerlang dua atlet Para yang menjadi tonggak pungutan pingat kita ketika Para ASEAN baru-baru ini iaitu perenang Abdul Halim Mohammad dan atlet olahraga, Ivan Jovic Suan, secara kebetulan kedua-duanya berasal dari Tuaran,” katanya.

Pada kejohanan Para ASEAN Ke-13 itu, Abdul Halim memenangi lima pingat emas dalam acara individu dengan empat rekod baharu, selain satu pingat perak dan satu gangsa menerusi acara berpasukan.

Abdul Halim yang sebelum ini turut diangkat sebagai Atlet Lelaki Terbaik Malaysia ketika Para ASEAN 2025 oleh Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) adalah penerima insentif terbesar pada hari ini.

Bagi Ivan pula, kejayaan memenangi tiga pingat emas dengan satu rekod baharu adalah satu kejutan besar dalam acara pecut di peringkat Asia Tenggara kerana usianya yang baru 18 tahun.

Hajiji memberi jaminan kerajaan negeri akan terus memperuntukkan perbelanjaan besar dan konsisten bagi memastikan lebih banyak aktiviti sukan dapat dijalankan, selain menyediakan prasarana sukan moden dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan atlet.

“Menerusi Dasar Sukan yang kita rancang, kerajaan berusaha ke arah pembentukan budaya sukan dan peningkatan tahap kesihatan rakyat dengan memberikan peluang sama rata kepada semua lapisan.

“Saya percaya, Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah di bawah pimpinan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan timbalannya, Datuk Seri Dr Anil Sandhu yang sentiasa berjiwa muda, akan terus berusaha merancang pembangunan yang komprehensif dan jitu untuk Sabah mencapai tahap kemajuan yang lebih membanggakan lagi,” katanya. – Info X