Search

PEMILIHAN PKR SABAH KECOH

May 22, 2022

admin


KOTA KINABALU: Pemilihan PKR di Sabah hari ini kecoh selepas sistem pengundian dalam talian bagi pemilihan parti di tempat mengundi seluruh Sabah mengalami masalah teknikal.

Pengerusi PKR Sabah Christina Liew berkata, beliau berasa terkejut apabila mendapati namanya sebagai calon tidak tersenarai dalam sistem pengundian dalam talian.

“Saya hanya mengetahui perkara ini apabila ramai pengundi saya mengadu nama daya tidak keluar di dalam sistem ketika mereka ingin mengundi ketika dua jam pertama undi dibuka.

“Disebabkan itu, saya terus mengadu pada petugas di kaunter, nama saya hanya muncul selepas jam 11 pagi tetapi ketika itu ramai pengundi saya sudah pulang,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Christina berkata, beliau kecewa kerana ramai pengundinya yang datang pada awal pagi terutamanya dari luar daerah ke sini untuk mengundinya tetapi gagal berbuat demikian.

“Ada daripada kalangan mereka yang datang dari jauh dengan menaiki bas dan bot ke Kota Kinabalu semata-mata untuk membuang undi.

“Bagaimanapun kita hanya mengikuti peraturan disamping saya juga turut membuat aduan ke ibu pejabat berhubung perkara terbabit.

“Saya benar-benar terkejut dengan kejadian itu dan ia tidak sepatutnya berlaku. Apa pun masalah seperti masalah teknikal dan sebagainya, saya tidak tahu (secara mendalam) mengenai. Saya cuma ambil berat terhadap pengundi,” katanya. – Info X