Search

‘Pemimpin besar’ sebelum Kerajaan Perpaduan tidak suka blok Borneo – Hajiji

July 27, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Keputusan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyokong Kerajaan Perpaduan disebabkan sikap ‘pemimpin besar’ di Kuala Lumpur yang tidak menyukai blok Borneo.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mendedahkan pemimpin terbabit menyatakan tidak mahu GRS berkongsi pengalaman dan cerita dengan negeri jiran, Sarawak.

“Saya bersama Datuk Seri Masidi dan Datuk Dr Jeffrey, ketika berjumpa seorang pemimpin besar di sana (Kuala Lumpur) suatu masa lalu, orang itu menyatakan bahawa mereka ialah ‘master’.

“Dia tidak suka blok Borneo, dia tidak mahu kita berkongsi pengalaman dan cerita dengan negeri jiran Sarawak. Saya amat terkejut dengan kata-kata itu, lama saya berfikir apa erti dan niat dia.

“Kata-kata itu menyebabkan hati saya terus tawar kepada mereka. Akhirnya setelah berfikir panjang, maka saya buat keputusan membawa GRS menyokong Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di sini, pada Ahad.

Pengerusi GRS yang juga Presiden Gagasan Rakyat itu merujuk kepada pemimpin di persekutuan sebelum Kerajaan Perpaduan.

Sebaliknya, beliau berkata GRS mendapat layanan yang baik daripada Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang banyak mendengar suara Sabah.

“Ahamdulillah, Kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri sekarang mendengar suara kita dan kita dilayan sebaiknya, syukur.

“Oleh itu saya nyatakan sekali lagi bahawa GRS tetap menyokong Perdana Menteri hari ini. Banyak inisiatif dan tuntutan kita dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilulus Perdana Menteri.

“Sebelum itu, amat sukar mereka menurunkan kuasa atau lulus permintaan kita, jadi apa yang kita harapkan lagi kalau Kerajaan Perpaduan baik untuk negeri kita, kenapa kita tidak sokong,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Hajiji menjelaskan peristiwa itu berlaku sebelum Kerajaan Perpaduan, menyebabkan beliau merasa tidak selesa apabila blok Borneo tidak disukai. – Info X