KOTA KINABALU: Seorang Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan hari ini mengetuai beberapa pemimpin dan ahli Warisan Kota Belud meletak jawatan dan meninggalkan parti itu untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Naib Ketua Bahagian Warisan Kota Belud, Mohd Taib Isai itu membuat keputusan berkenaan atas dakwaan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi Warisan.
Mohd Taib berkata, langkah itu dibuat selepas menilai perkembangan politik semasa dan kegagalan kepimpinan parti menyatukan kekuatan politik Sabah demi kepentingan rakyat dan negeri.
Katanya, ramai pemimpin akar umbi semakin kecewa kerana pandangan mereka tidak lagi diberikan perhatian selain beranggapan parti itu semakin jauh daripada aspirasi rakyat Sabah.
“Keputusan ini bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya setelah menilai perkembangan politik semasa dan hala tuju perjuangan yang lebih sesuai untuk masa depan Sabah.
“Kami melihat keperluan kepada sebuah wadah politik yang mampu menjamin kestabilan, perpaduan serta pembangunan berterusan untuk negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mohd Taib berkata, beliau yakin kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berjaya mewujudkan kestabilan politik dan menyatukan pelbagai pemimpin serta parti tempatan di bawah agenda pembangunan yang jelas.
Katanya, pendekatan inklusif dan sederhana yang dibawa Hajiji turut memberi keyakinan bahawa masa depan Sabah lebih terjamin di bawah kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Sehubungan itu, beliau bersama kumpulannya mengambil keputusan menyertai Gagasan Rakyat dan memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Hajiji dalam meneruskan agenda pembangunan negeri.
“Kami percaya perjuangan melalui Gagasan Rakyat dan GRS lebih selari dengan aspirasi rakyat Sabah yang mahukan kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan pembangunan berterusan,” katanya.
Beliau turut menjangkakan gelombang sokongan terhadap Gagasan Rakyat dan GRS akan terus meningkat dengan lebih ramai pimpinan serta ahli Warisan dijangka mengambil langkah sama dalam masa terdekat.
Antara pemimpin Warisan yang turut mengumumkan keluar parti ialah Ketua Wanita Warisan Kudat merangkap Exco Wanita Pusat, Datin Roziah; Ketua Wanita Warisan Kota Marudu merangkap Exco Wanita Pusat, Maini Tapah; serta Ketua Wanita Warisan Sandakan merangkap Exco Wanita Pusat, Masilah Lidah.
Turut bersama meninggalkan parti ialah mantan Ketua Bahagian Warisan Kota Belud, Datuk Hanjan Samit; mantan Naib Ketua Bahagian Warisan Kota Belud, Andrew Lintangah; Penyelaras DUN Tanjung Kapor, Datuk Arif Abdullah; dan mantan Timbalan Ketua Penaja Bahagian Warisan Kudat, Abu Bakar Angkang.
Selain itu, beberapa ahli jawatankuasa bahagian, ketua pusat daerah mengundi (PDM) serta pemimpin akar umbi dari Kota Belud, Kudat, Kota Marudu dan Sandakan turut menyatakan sokongan kepada Gagasan Rakyat.
Sementara itu, Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua berkata tindakan Taib itu dan beberapa yang lain sudah dijangka kerana perkara itu bermula sejak selepas pengumuman calon PRN17.
“Warisan menghargai sumbangan serta komitmen mereka kepada parti selama ini dan mengucapkan terima kasih terutamanya Taib Isai kerana beliau adalah antara pemimpin lantang menentang GRS dan Hajiji selama ini.
“Keputusan meninggalkan Warisan adalah satu keputusan yang parti tidak dapat halang, namun, adalah tidak adil dan tidak matang untuk membuat kenyataan menuduh kepimpinan parti dengan pelbagai tuduhan.
“Saya percaya bahawa saudara
Taib tidak akan memuji YAB DSP Hajiji sekiranya keputusan PRN17 yang baru lalu tidak memihak kepada GRS.
“Mereka perlu sedar bahawa ramai dalam kalangan pemimpin parti yang layak untuk menjadi calon tetapi akhirnya parti hanya dapat memilih 73 orang calon sahaja,” katanya dalam kenyataan balas beliau pada Selasa. – Info X