Search

Pemuda Gagasan Rakyat buat laporan polis, dakwaan jual Sabah fitnah

April 18, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat tampil membuat laporan polis berhubung satu hantaran di Facebook (FB) yang didakwa memfitnah Ketua Menteri Sabah berkaitan isu Pulau Sebatik.

Pemangku Ketua Pemuda Gagasan, Datuk Azrul Ibrahim berkata, tindakan itu bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap individu terbabit mengikut undang-undang sedia ada, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurutnya, hantaran berkenaan mengaitkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dengan dakwaan kononnya menjual sebahagian tanah Sabah kepada Indonesia.

“Dakwaan ini adalah satu bentuk manipulasi yang boleh mengelirukan rakyat dan sudah pun dinafikan oleh Duta Besar Indonesia ke Malaysia.

“Isu ini timbul susulan kekurangan penjelasan rasmi yang membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab memutarbelitkan fakta,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, malam tadi.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Persekutuan khususnya Wisma Putra tampil memberi penjelasan segera bagi mengelakkan kekeliruan berterusan.

Dalam masa sama, Azrul tidak menolak kemungkinan isu berkenaan sengaja dimainkan bagi mencetuskan persepsi negatif dan ketegangan, termasuk bermotifkan kepentingan tertentu.

Katanya, tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu, fitnah dan tuduhan jahat terhadap kepimpinan negeri.

“Isu Pulau Sebatik sangat sensitif kerana membabitkan sempadan negara serta hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia yang telah terjalin sekian lama.

“Sebarang kenyataan tidak bertanggungjawab boleh menjejaskan hubungan diplomatik kedua-dua negara,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika mengulas isu berkaitan kepentingan negara dan mendapatkan maklumat daripada sumber sahih.
Katanya, Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat akan terus memantau media sosial dan tidak teragak-agak membuat laporan polis jika terdapat unsur fitnah atau provokasi berterusan. – Info X