KUALA PENYU: Pergerakan Pemuda UMNO Beaufort menyatakan sokongan terhadap pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Sokongan itu dipersetujui pada pembentangan usul mesyuarat perwakilan pergerakan berkenaan minggu lalu.
Ketua Pemuda UMNO Beaufort, Ak Mohd Yazri Ak Mohd Yahya, berkata Najib layak diberi pengampunan dan dibebaskan daripada hukuman yang dihadapinya.
Katanya, bekas Presiden UMNO yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun itu wajar mendapat keadilan.
“Sampai hari ini, Bossku (Najib) tidak mendapat keampunan penuh, walaupun telah diberikan (Titah Adendum), namun ditolak (mahkamah) termasuk tahanan di rumah juga tidak diberikan,” katanya.
Sehubungan itu, Ak Mohd Yazri berkata, Pergerakan Pemuda UMNO Beaufort bersolidariti bagi memastikan pembebasan Najib dapat dilaksanakan.
Jelasnya, isu pembebasan Najib amat dekat di hati rakyat negara ini dan ia perlu diperjuangkan dengan bersungguh-sungguh.
“Kalau saya ambil contoh PKR (Parti Keadilan Rakyat) boleh memperjuangkan kebebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka UMNO juga boleh perjuangkan keadilan untuk Bossku.
“Saya berharap usul ini menjadi satu gelombang menyatukan UMNO dan penyokong supaya kita boleh bergerak ke arah pilihan raya akan datang,” katanya. – Info X