KOTA KINABALU: Pemulihan bekalan elektrik di kawasan terjejas banjir di beberapa daerah sekitar Pantai Barat Sabah sejak petang semalam akan dilakukan secara berperingkat.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memaklumkan pemulihan bekalan elektrik bergantung kepada situasi semasa banjir di kawasan yang terbabit.
Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata penutupan bekalan elektrik adalah kritikal untuk memastikan keselamatan orang ramai.
“SESB sedang giat berusaha untuk memastikan bekalan elektrik yang ditutup di beberapa kawasan di Pantai Barat Sabah yang dilanda banjir kilat dapat dipulihkan semula secara berperingkat.
“Pemulihan semula bekalan akan dilaksanakan secara berperingkat bergantung kepada akses, keadaan setempat dan juga faktor keselamatan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar segera memaklumkan kepada SESB jika kawasan perumahan atau kampung mereka dinaiki air banjir supaya bekalan elektrik dapat dihentikan atas faktor keselamatan.

Dalam pada itu, beliau menasihati pengguna untuk mengamalkan beberapa panduan keselamatan elektrik bagi mengelak kejadian yang tidak diingini ketika banjir.
Berikut beberapa panduan yang dikongsikan SESB:
- Hindari penggunaan sebarang peralatan elektrik dan pastikan suis utama di premis ditutup apabila premis dinaiki air;
- Jangan menyentuh peralatan, tiang besi atau kabel elektrik yang terendam dalam air banjir walaupun bersalut dengan penebat untuk mengelakkan renjatan elektrik;
- Sekiranya diarahkan untuk berpindah, pastikan suis utama di premis kediaman dimatikan;
- Pastikan semua suis di soket alir keluar ditutup dan tanggalkan palam kuasa peralatan elektrik;
- Sekiranya premis dipasang dengan sistem solar PV, matikan sistem tersebut sebelum anda keluar dari rumah bagi mengelakkan bekalan suap balik ke sistem pendawaian rumah;
Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan untuk terus menghubungi SESB di talian 15454, Whatsap 019-8525427 atau 088- 515000 jika berlaku banjir di kawasan mereka. – Info X