Search

PENANTIAN ISTERI BERAKHIR DENGAN KHABAR DUKA

February 28, 2023

admin

KOTA MARUDU: Penantian seorang isteri yang menunggu kepulangan suaminya berakhir duka apabila insan tersayang maut selepas dipercayai terbabit dalam kemalangan di Jalan Lotong, di sini, hari ini.

Mayat Jelson Ginsiu, 22, beralamat Kampung Melangkap, di sini ditemui orang awam dalam keadaan terapung di parit di Jalan Lotong menghala ke Hospital Kota Marudu, pagi tadi.

Semalam, isteri mangsa membuat laporan polis mengatakan suaminya tidak pulang ke rumah sejak 26 Februari lalu selepas habis kerja pada 9 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Zairolnizal Ishak berkata, pihak menerima panggilan orang awam pada jamn11.55 pagi tadi mengatakan ada satu mayat terapung di parit.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku antara jam 1 hingga 4 pagi semalam di mana mangsa menunggang motosikal seorang diri dari arah Pekan Kota Marudu ke rumah di Taman JJ.

“Apabila tiba di tempat kejadian telah hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar tiang lampu sebelum termasuk ke dalam parit.

“Mangsa meninggal dunia dan turut mengalami cedera di bahagian kepala,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zairolnizal berkata, siasatan lanjut di tempat kemalangan terdapat satu mayat sedang terapung di dalam parit berair sebelah kiri Jalan Lotong menghala ke Hospital Kota Marudu.

“Mayat mangsa kemudian dikeluarkan dari dalam parit oleh pasukan penyelamat. Terdapat juga Serpihan pecahan motosikal di bahu kiri jalan raya dan motosikal mangsa ditemui berada di dalam parit berkenaan.

“Hasil siasatan juga mendapati isteri mangsa ada membuat laporan polis jam 7.02 malam semalam, mengatakan suaminya (mangsa) tidak pulang ke rumah sejak 26 Februari lalu selepas habis kerja pada 9 malam,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk bedah siasat.

“Siasatan masih dijalankan di tempat kejadian dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

“Kes disiasat mengikuti Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X