KOTA KINABALU: Pencapaian ekonomi positif yang dilakar negeri ini dalam tempoh tiga tahun lalu membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri mentadbir dan membangunkan Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Sabah telah mencapai beberapa kejayaan ekonomi melalui pelan tindakan pembangunan lima tahun – Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Dengan kejayaan ini, saya berani mengatakan bahawa Sabah kini berada di landasan yang tepat.
“Beberapa petunjuk ekonomi menunjukkan perubahan positif yang mencerminkan masa depan yang lebih baik untuk Sabah,” katanya pada sambutan Aidilfitri Madani Peringkat Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sementara itu, Hajiji berkata pemilihan Sabah sebagai tuan rumah bagi sambutan Aidilfitri Madani Peringkat Kebangsaan 2024 bukan saja satu penghormatan tetapi juga pengiktirafan terhadap kepelbagaian kaum, etnik serta budaya dan agama di negeri ini yang kesemuanya dapat hidup bersama secara harmoni.
“Kita mempunyai rakyat dari pelbagai latar belakang, agama dan kaum namun kita kekal hidup harmoni.
“ita menyambut semua perayaan sama ada Hari Raya Aidilfitri, Krismas, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Pesta Kaamatan. Inilah keunikan dan kekuatan Sabah,” katanya.
Hajiji berkata, sambutan Aidilfitri Madani Peringkat Kebangsaan yang dihadiri segenap lapisan masyarakat termasuk pemimpin tertinggi negara dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan rakyat dan menyemarakkan semangat perpaduan.
“Selari dengan semangat Malaysia Madani dan agenda besar Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertekad mengembalikan kegemilangan nama negara di persada global, Sabah menyokong penuh perjuangan ini demi negara dan kemakmuran rakyat.
“Kita di Sabah percaya bahawa keharmonian kaum adalah kunci kepada kemakmuran. Ia juga menyumbang kepada keamanan, keselamatan dan perpaduan.
“Masyarakat yang bersatu padu adalah masyarakat yang berdaya tahan terhadap unsur negatif yang mengancam perpecahan,” katanya. – Info X