Search

Pencawang baharu atasi gangguan elektrik beberapa kampung di Papar

March 8, 2026

Info X Reporters

PAPAR: Gangguan bekalan elektrik disebabkan kesusutan voltan yang dialami penduduk beberapa kampung, di sini diatasi menerusi pembinaan pencawang baharu bagi menggantikan pencawang lama yang tidak mampu menampung beban permintaan tenaga.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata sepanjang tahun lalu empat pencawang baharu disiapkan Sabah Electricity Sdn Bhd (SE), masing-masing di Pencawang di Kampung Beringgis, Sekayan, Kawakahan dan Sagang.

Terkini, katanya pencawang baharu di Kampung Takis baru saja siap pada 26 Februari lalu dan dijangka dapat beroperasi sepenuhnya mulai April depan.

Beliau berkata, pembinaan baharu pencawang di Kampung Takis adalah susulan aduan yang diterima berhubung isu kesusutan voltan di bawah paras nominal 216V bagi kediaman dan premis di sekitar kampung itu sejak sekian lama.

Keadaan itu, katanya memberi kesan kepada kelancaran penggunaan elektrik harian, malah dalam beberapa keadaan menyebabkan kerosakan peralatan, selain risiko berlaku litar pintas hingga mengganggu aktiviti perniagaan dan urusan harian penduduk.

“Dengan beroperasi sepenuhnya pencawang baharu ini kelak, isu-isu yang dinyatakan dijangka dapat diatasi sekali gus memastikan bekalan elektrik yang lebih stabil, memudahkan urusan harian penduduk serta dapat menampung kapasiti penggunaan elektrik yang semakin meningkat di kawasan sekitar.

“Saya harap penduduk dapat menyambut Aidilfitri tahun ini dengan bekalan elektrik yang lebih stabil,” katanya dalam perkongsian di Facebook beliau.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata, beliau sendiri meninjau pelaksanaan projek pencawang bersama SE selepas pembinaannya dimulakan susulan aduan mengenai isu gangguan bekalan daripada penduduk.

“Saya sendiri telah turun padang bersama kakitangan SE bagi meninjau pelaksanaan projek-projek ini serta memohon agar pembinaannya dapat disegerakan dan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Sekiranya terdapat isu yang sama berlaku di kawasan kampung anda, mohon agar aduan rasmi disalurkan kepada pihak SE mahupun Pejabat Parlimen Papar agar semakan dan tindakan lanjut dapat dilakukan.

“Saya merakamkan penghargaan kepada pihak SE atas komitmen dan kerjasama dalam memastikan keperluan asas rakyat seperti bekalan elektrik sentiasa diberi perhatian.

“Usaha berterusan ini merupakan antara komitmen kerajaan memastikan kemudahan infrastruktur asas terus diperkukuh demi kesejahteraan bersama,” katanya. – Info X