Search

Pendaki cedera di kepala selepas terjatuh di Gunung Kinabalu

March 24, 2025

Info X Reporters

RANAU: Seorang pelancong warga Singapura cedera selepas terjatuh di Kilometer 7.2 Gunung Kinabalu, di sini, pagi tadi.

Wanita berusia 56 tahun itu mengalami kecederaan ketika menuruni Gunung Kinabalu, kira-kira jam 7 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.33 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 17 anggota PBB MOSAR bersama anggota Taman-Taman Sabah serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.

“Mangsa dilaporkan terjatuh mengakibatkan kecederaan di kepala dan tidak dapat meneruskan pendakian.

“Pasukan MOSAR bersama petugas Taman-Taman Sabah terus memberi rawatan awal kepada mangsa untuk menghentikan pendarahan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pasukan penyelamat mengangkat mangsa menggunakan Robinson Stretcher untuk dihantar ke Timpohon Gate.

Menurutnya, mangsa seterusnya dibawa turun ke Timpohon Gate dengan menggunakan kaedah Robinson Stretcher.

“Sebaik tiba di Timpohon Gate, mangsa diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.04 tengah hari,” katanya. – Info X