Search

Pendaki warga China cedera terjatuh diselamatkan

February 12, 2024

Info X Reporters

RANAU: Seorang pendaki warga China diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) selepas mengalami kecederaan akibat terjatuh ketika turun dari puncak gunung di kawasan kilometer 7.5 di sini, hari ini.

Lelaki berusia 43 tahun itu dilaporkan mengalami pendarahan di kepala dan telinga selepas terhempas di bahagian belakang kepala mangsa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.35 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 14 anggota dan pegawai termasuk MOSAR serta Malim Gunung dan anggota ParkSAR dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi mangsa, pasukan penyelamat terus memberikan rawatan awal bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.

“Mangsa diberi rawatan awal dengan membalut luka di bahagian kepala mangsa,” katanya ketika dihubung, hari ini.

Mangsa dibawa menaiki ambulans untuk dihantar ke Hospital Ranau. – Foto/Bomba

Menurutnya, mangsa kemudiannya turun ke Timpohon Gate dengan menggunakan kaedah ‘Piggyback Carry’ oleh pasukan MOSAR, Malim Gunung dan ParkSAR.

“Sebaik tiba di Timpohon Gate, mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak ambulans dan dibawa ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut.

“Operasi tamat pada jam 1.35 tengah hari,” katanya. – Info X