Search

Pendakian ke puncak Kinabalu ditutup akibat cuaca buruk

September 17, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pengurusan Taman Kinabalu, hari ini, menutup aktiviti pendakian ke puncak Gunung Kinabalu, berikutan angin kencang, hujan lebat, berkabus dan suhu sejuk hampir ke takat beku.

Menerusi satu hantaran yang dikongsikan di Facebook Sabah Parks, pendakian di gunung tertinggi Asia Tenggara itu bermula pada jam 3.30 pagi tadi.

Penutupan sementara aktiviti pendakian itu dibuat selepas pemantauan berterusan aspek keselamatan di Kompleks Panalaban sejak semalam hingga awal pagi ini.

“Pada jam 03:30 pagi, pendakian ke puncak gunung telah ditutup sepenuhnya akibat keadaan angin kencang, berkabus dan hujan lebat, suhu sejuk (8.4 darjah Celcius) serta kelembapan tinggi (99%) selepas aktiviti pemantauan keselamatan pendakian berterusan dilakukan di Kompleks Panalaban bermula dari pagi Isnin, 16/09/2024 sehingga jam 03:30 pagi hari ini.

“Taklimat keselamatan awal dan penangguhan aktiviti pendakian telah dilakukan pada jam 02.30 pagi dan disusuli dengan taklimat penutupan pendakian ke puncak Kinabalu pada 03.30 pagi kepada semua pendaki.

“Taman-Taman Sabah amat komited dan siap siaga memantau keselamatan para pendaki Gunung Kinabalu tidak kira keadaan cuaca atau waktu agar tiada perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang tempoh pendakian,” katanya.

Tangkap layar situasi di Substesen Panalaban, Gunung Kinabalu yang dilanda angin kencang, hujan lebat, kabus dan suhu sejuk.

Laporan mengenenai situasi di Gunung Kinabalu itu dikeluarkan petugas Taman-Taman Sabah di Substesen Panalaban, Gunung Kinabalu, Aizuddin Kintai.

Beliau turut berkongsi video memaparkan situasi cuaca di kawasan Substesen Panalaban, Gunung Kinabalu, pada subuh hari ini. – Info X