KOTA KINABALU: Seorang pakar pengaturcaraan komputer yang meninggal dunia akibat masalah kesihatan baru-baru ini menjadi penderma organ kesembilan direkodkan di Sabah pada tahun ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Asits Sanna, berkata, mendiang Jonathan Ho, 47, dari Kampung Tuunon Kolopis, Penampang, dekat sini mendermakan sepasang matanya kepada dua pesakit atas persetujuan keluarga, baru-baru ini.
Beliau berkata, keluarga mendiang bersetuju mendermakan organ berkenaan selepas disahkan masih sesuai dan boleh membantu memulihkan penglihatan pesakit yang memerlukan.
“Pendermaan ini membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun, mendiang Jonathan Ho yang disahkan meninggal dunia akibat masalah perubatan.
“Pihak keluarga bersetuju mendermakan sepasang kornea (mata) setelah dimaklumkan ianya masih sesuai dan boleh membantu memulihkan penglihatan pesakit yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Dr Asits berkata, mendiang adalah seorang graduan ijazah dalam bidang sistem maklumat komputer dari Hawaii Pacific University, Honolulu, Amerika Syarikat pada 1999 sebelum menjadi pakar dalam pengaturcaraan komputer.

“Ketika hayatnya, mendiang aktif dalam persatuan pengaturcaraan dan sering terlibat sebagai penceramah jemputan dalam bengkel berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi membantu komuniti di Sabah menerokai dengan lebih mendalam bidang berkenaan.
“Ahli keluarga menyifatkan mendiang sebagai seorang yang mesra, periang dan sentiasa ingin membantu golongan yang memerlukan tanpa ragu-ragu.
“Ahli keluarga berasa bersyukur setelah dimaklumkan bahawa kornea yang didermakan telah berjaya ditransplan kepada dua orang pesakit di Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan berharap agar mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih baik.
“JKNS mengucapkan takziah dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak keluarga atas pendermaan ini. Semoga roh mendiang bersemadi dengan aman dan pihak keluarga diberi kekuatan menghadapi kehilangan ini,” katanya.
Beliau berkata, JKNS turut merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada keluarga penderma organ yang lain yang memilih untuk merahsiakan identiti beberapa kes pendermaan pada tahun ini.
“JKN juga merakamkan penghargaan kepada HQE yang merekodkan lapan kes pendermaan kornea (mata), manakala HQE II merekodkan satu kes pendermaan pelbagai organ iaitu hati, buah pinggang dan kornea pada tahun ini,” katanya. – Info X