KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri kekal dengan pendirian tidak bersetuju terhadap tuntutan kerajaan Indonesia berhubung hak kedaulatan Ambalat di Laut Sulawesi.
Katanya, pendirian Sabah itu jelas, konsisten dan tidak akan berganjak daripada sebarang cubaan negara jiran itu untuk mengambil kawasan berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan negeri tetap mempertahankan kawasan Ambalat yang dikenal pasti kaya dengan sumber minyak dan gas sebagai milik Sabah dan negara.
“Saya ingin menyatakan bahawa rundingan mengenai Laut Sulawesi tidak pernah ditandatangani. Apa yang ditandatangani sebelum ini hanya membabitkan perairan 12 batu nautika.
“Sebelum itu tidak pernah ada perundingan atau persetujuan dalam persempadanan terbabit, tapi yang jadi persoalan sekarang ialah sama ada kita setuju atau tidak dalam tuntutan Laut Sulawesi atau Ambalat.
“Ini tidak pernah dipersetujui dan masih dalam rundingan dengan Indonesia. Itu yang saya dapat tahu dalam taklimat dan penerangan yang diberikan oleh Kementerian Luar kepada kerajaan negeri,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Senallang – WARISAN) yang bertanya berhubung kedudukan sebenar Ambalat selepas pertemuan Presiden Indonesia, Joko Widodo dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini.
Hajiji berkata, beliau memahami apa yang dimaksudkan Mohd Shafie dan menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak pernah bersetuju terhadap tuntutan Indonesia.
“Sekarang kita masih dalam perundingan dan baru-baru ini iaitu pada 16 hingga 17 November lalu, satu perundingan dibuat di Indonesia dan kita diwakili antaranya oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan Peguam Besar Sabah.
“Namun, belum ada apa-apa pencapaian kerana pendirian kita tegas dalam perkara ini, iaitu kita tidak akan sewenang-wenangnya memberi hak kita di Laut Sulawesi,” katanya.
Menjawab soalan asal Mohd Shafie yang meminta penjelasan mengenai rundingan dengan Indonesia berkaitan Pulau Sebatik di bawah Perjanjian Laut Sulawesi, Hajiji berkata Malaysia dan Indonesia komited untuk menyelesaikan persempadanan darat dan persempadanan laut wilayah secara menyeluruh.
Bagaimanapun, katanya setakat ini tiada apa-apa persetujuan dibuat melalui platform mesyuarat dua hala yang berkaitan Pulau Sebatik dan Laut Sulawesi.
“Kerajaan negeri juga dilibatkan secara aktif dalam platform mesyuarat dua hala ini yang diketuai oleh Kementerian Luar dan akan memastikan setiap perundingan atau cadangan yang melibatkan persempadanan Sabah, Malaysia dan Indonesia dibentang dan dirujuk kepada jemaah Menteri Sabah terlebih dahulu untuk mendapat asas perundingan, hala tuju dan ketetapan,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri tegas dengan pendirian bahawa persempadan negeri Sabah di Pulau Sebatik adalah di garisan sempadan memanjang sepanjang 4°10’ bermula dari East Pillar sehingga ke Low Water Line di sebelah timur Pulau Sebatik.
Beliau berkata, sempadan maritim yang ditandatangani melalui Triti Laut Sulawesi sebelum ini hanya membabitkan 12 batu nautika dan tidak mendatangkan kerugian kepada negeri Sabah.
“Perundingan penetapan sempadan maritim bagi kawasan yang melebihi 12 batu nautika sehingga 200 batu nautika di Laut Sulawesi (dalam kawasan ND6 dan ND7) yang menjadi Exclusive Economic Zone (EEZ) masih belum dimulakan.
“Sempadan yang melibatkan Pulau Sebatik iaitu kawasan ‘Intertidal’ masih dalam rundingan. Sesi rundingan terkini melalui Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Khas yang diadakan pada 16 hingga 17 November 2023 di Tangerang, Indonesia diakhiri tanpa apa-apa perkembangan kerana kedua-dua belah pihak kekal dengan pendirian masing-masing,” katanya. – Info X