Search

Penduduk jumpa mayat warga asing terdampar di pantai

August 16, 2025

Info X Reporters

KOTA BELUD: Seorang lelaki warga asing ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh ke laut ketika memancing ikan dalam kejadian di muara Sungai Rampayan Laut, di sini, hari ini.

Mangsa berusia 46 tahun ditemui terdampar di pantai kampung berkenaan oleh orang awam pada jam 8.55 pagi sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, sebaik menerima makluman penemuan mayat mangsa, sepasukan anggota dan pegawai terus dikerah ke lokasi kejadian.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati, mangsa bukan warganegara tempatan dan dipercayai ke lokasi untuk memancing ikan.

“Berdasarkan siasatan, perahu mangsa dipercayai terbalik sebelum karam akibat dipukul ombak kuat di lokasi.

“Kejadian menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam laut sebelum dihanyutkan arus deras,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk proses bedah siasat.

Katanya, siasatan polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklaaifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Sehubungan itu, Shahrudin menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi kerana dikhuatiri akan mengganggu siasatan polis.

Katanya, mana-mana saksi kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud bagi membantu siasatan. – Info X