KOTA KINABALU: Lebih 70 penduduk Kampung Sinompuru Sungai Simpang, Sandakan merayu campur tangan kerajaan negeri dalam mendapatkan penempatan baharu.
Penduduk mendakwa tanah berkeluasan 175 hektar berkenaan sudah mula diduduki sejak hampir 40 tahun lalu dan sudah beberapa membuat permohonan mendapatkan geran sehingga kali terakhir permohonan dibuat pada tahun 2017 tetapi ditolak.
Namun penduduk hanya mengetahui tanah di kawasan perkampungan berkenaan sudah dibeli oleh sebuah syarikat perladangan pada awal tahun ini.
Penduduk kampung berkenaan sudah beberapa kali diarahkan untuk berpindah sebelum empat buah rumah dirobohkan pada Jun lalu dengan perintah mahkamah.
Bagaimanapun, penduduk kawasan berkenaan kemudiannya diberi kelonggaran untuk berpindah dari perkampungan terbabit dalam tempoh tiga bulan.
Ekoran itu, seramai kira-kira 40 orang penduduk kampung hadir menyerahkan memorandum kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah bertempat di pekarangan Wisma Innoprise, hari ini.
Memorandum berkenaan diserahkan wakil penduduk, Yulius Kasu kepada Setiausaha Rendah (Operasi) KKTP Sabah, Nordin Lossin.
Dalam pada itu, Yulius Kasu, 70, berkata, beliau selaku wakil penduduk Kampung Sinompuru Sungai Simpang merayu kerajaan negeri membantu semua penduduk asal kampung berkenaan mendapatkan pembelaan.
“Kami bukan orang kaya malahan cukup-cukup makan dengan hasil tanaman seperti kelapa sawit.
“Penduduk sampai menangis memikirkan nasib masing-masing sekiranya dihalau dari kampung itu.
“Berilah kami penempatan yang sesuai kerana penduduk buntu untuk mencari tempat berteduh,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya berharap kerajaan negeri atau pihak berkaitan dapat menangguhkan proses pengusiran penduduk di kampung terbabit.
“Selain itu, kita juga meminta penduduk dan syarikat untuk duduk berbincang bersama kerajaan negeri agar dapat jalan penyelesaian termasuklah memberikan wang ihsan dan penempatan baharu.
“Hari ini kami menyerahkan memorandum yang disampaikan kepada wakil kerajaan negeri, Setiausaha Rendah (Operasi) KKTP, Nordin Lossin dan beliau akan panjangkan permintaan ini kepada Menteri KKTP, Datuk Masidi Manjun untuk diadakan rundingan,” katanya. – Info X