PUTATAN: Penduduk warga tempatan di Kampung Pituru, Sabindo, Lok Kawi, dekat sini tidak perlu bimbang mengenai kedudukan mereka susulan notis bancian yang dikeluarkan pihak berkuasa baru-baru ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata dakwaan kononnya 63 rumah di kampung itu akan dirobohkan berdasarkan notis yang diberikan adalah tidak tepat.
Jelasnya, notis itu adalah untuk mengesan kediaman yang dihuni pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi tindakan lanjut pihak berkuasa, tanpa menjejaskan penduduk berstatus warga negara yang tinggal di kampung itu.
“Sebenarnya ada sedikit kekeliruan di situ. Apa yang dibuat adalah penyerahan notis dan pembancian berkenaan dengan penempatan setinggan daripada golongan pendatang tanpa izin.
“Jadi dalam hujung minggu ini sekali lagi Pejabat Daerah bersama beberapa agensi yang lain akan turun ke kawasan berkenaan untuk meneliti proses pembancian terbabit.
“Jadi bagi pendatang tanpa izin ia akan diberi notis untuk diarah pindah tetapi untuk yang local, mereka masih boleh bertahan di situ,” katanya ditemui selepas menyertai Kembara Merdeka sempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Sabah peringkat daerah Putatan, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri diminta mengulas dakwaan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebelum ini yang antara lain menyebut 63 rumah di Kampung Pituru akan diroboh dan penghuninya diberi masa berpindah sehingga 4 September depan.
Difahamkan, Kampung Pituru adalah sebahagian daripada kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat dan Parlimen Putatan yang diwakili Shahelmey.
Bagaimanapun, pentadbiran daerah kampung terbabit terletak di bawah Pejabat Daerah Papar.
Mengulas lanjut, Shahelmey berkata, pihaknya akan berhubung rapat dengan Pejabat Daerah Papar berkaitan penempatan di kampung terbabit.
“Sebab Kampung Pituro belum lagi digazetkan sebagai kampung warisan walaupun kita telah menulis surat memohon supaya ia ditukar daripada rizab tepi pantai kepada kampung warisan.
“Tapi, sehingga hari ini kita belum dapat maklum balas dan itulah yang akan kita ‘follow up’ dari semasa ke semasa,” katanya.
Sebelum ini, Shafie yang juga bekas Ketua Menteri mendakwa dimaklumkan oleh penduduk bahawa 63 rumah di blok A Kampung Pituru diarah mengosongkan kawasan kerana berstatus tanah simpanan tepi pantai.
Terdahulu, Shahelmey menyertai Kembara Merdeka peringkat daerah Putatan ke seluruh kampung di daerah ini yang bermula dari Dewan Sri Putatan, di sini pagi tadi sebelum berakhir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petagas, pada tengah hari. – Info X