Search

Penduduk terjejas kemarau di Kiulu terima penghantaran air

March 5, 2024

Info X Reporters

KIULU: Penduduk di sekitar Kiulu yang berdepan masalah air berikutan kemarau dan cuaca panas ketika ini menerima penghantaran bekalan menerusi inisiatif wakil rakyatnya.

Perkara itu diakui beberapa pemimpin kampung sekali gus menafikan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan tiada bantuan sewajarnya diambil untuk membantu penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Kelawat, Thomas Sugara, berkata penghantaran bantuan air bersih kepada penduduk di kampungnya berjalan dengan baik.

Katanya, inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai itu sedikit sebanyak meringankan kesukaran dihadapi penduduk kampung.

“Kita faham amat susah untuk memenuhi keperluan semua orang yang memerlukan air disebabkan bukan di kampung ini saja yang mengalami masalah air tetapi sekurang-kurangnya ada air untuk keperluan sementara,” katanya.

Pengerusi JKKK Simpangan Lama, Lazilix Taipin, pula berkata proses penghantaran air dilakukan dengan cepat selepas mesyuarat di Pejabat Daerah Kecil Kiulu baru-baru ini.

“Proses penghantaran air sangat baik dan inisiatif ini perlu diteruskan terutamanya di bahagian atas Kampung Simpangan Lama Sokid,” katanya.

Pengerusi JKKK Kampung Tomis Baru, Irenen Sompun turut merakamkan penghargaan kepada Joniston kerana cepat bertindak menghantar air susulan lawatannya ke kampung itu.

“Penduduk kampung sangat berbesar hati atas tindakan pantas ini dan berharap penghantaran air ini diteruskan,” katanya.

Sementara itu, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kiulu, Golubi Guntarek, menyangkal dakwaan pembangkang kononnya wujud sikap tidak ambil peduli terhadap masalah bekalan air yang melanda beberapa kampung di Kiulu.

Beliau meminta agar pembangkang tidak mempolitikkan perkara itu dan menyemak fakta sebelum membuat sebarang tuduhan mengenai berkaitan isu bekalan air disebabkan kemarau.

“Berikutan masalah air yang dialami beberapa kampung di Kiulu akibat kemarau, Joniston telah melawat sendiri kawasan yang terjejas untuk menilai keadaan dan mendengar cadangan penyelesaian masalah daripada penduduk kampung.

“Kemudian Joniston melalui pejabat UPPM, Pusat Khidmat Adun Kiulu dan Pejabat Daerah Kecil Kiulu segera mengaturkan penghantaran tangki air ke kampung-kampung yang tiada bekalan air,” katanya menjawab dakwaan Timbalan Ketua Warisan Tuaran, Jamuntai Lahoi.

Jamuntai mendakwa Kementerian Kerja Raya Sabah dan Joniston tidak mengambil tindakan berkesan dengan membekalkan air secara terus kepada penduduk kampung yang terjejas.

Dia juga mendakwa penduduk kampung tidak berpuas hati dengan kenyataan Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmy Yahya, yang menyatakan penduduk kawasan Kiulu yang terjejas boleh mengambil air di Pejabat Daerah Tamparuli.

Mengenai kenyataan itu, Golubi berkata membenarkan penduduk kampung mengambil air terawat di Pejabat Daerah Tamparuli adalah salah satu penyelesaian alternatif yang disediakan untuk membantu mereka yang memerlukan di samping penghantaran terus bekalan kepada atas inisiatif ADUN Kiulu. – Info X