Search

Penempatan Palauh di Semporna diroboh pihak berkuasa

June 6, 2024

Info X Reporters

SEMPORNA: Penempatan masyarakat Palauh di beberapa pulau dan perairan sekitar daerah ini didakwa diroboh pihak berkuasa.

Berdasarkan maklumat dan gambar yang dimuat naik di Facebook Borneo Komrad, penempatan di atas pulau dan atas air masyarakat berkenaan ada yang dibakar, ‘ditebang’ dan ditarik dengan tali untuk dirobohkan.

Difahamkan, operasi itu dijalankan sejak semalam, antaranya di Pulau Bohey Dulang, Pulau Maiga, Pulau Bodgaya, Pulau Sebangkat dan Pulau Sibuan.

Palauh adalah masyarakat yang masih mengamalkan cara hidup nomad dan diklasifikasikan sebagai penduduk tanpa negara berikutan kehidupan mereka yang berpindah randah.

Di Semporna, selain membina kediaman yang berupa pondok kecil berdinding dan beratapkan daun kelapa atau nipah di atas pulau, mereka turut membina struktur di atas laut.

Kehadiran mereka turut menarik pengunjung dan pelancong yang datang ke Semporna kerana keunikan cara hidup masyarakat berkenaan yang tidak dapat dipisahkan dengan laut.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang penjelasan daripada pihak berkuasa mengenai alasan perobohan penempatan masyarakat terbabit.

Borneo Komrad mendakwa tindakan meroboh kediaman masyarakat itu adalah usaha untuk menghalau mereka kerana dianggap sebagai pendatang dan setinggan. – Info X