KOTA KINABALU: Bedah siasat ke atas bangkai gajah yang ditemui di ladang kelapa sawit FELCRA Berhad, Lahad Datu pada 26 September lalu tidak menemui sebarang unsur jenayah.
Menerusi satu kenyataan pada Rabu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Christina Liew, berkata kematian mamalia itu berpunca daripada kegagalan fungsi organ dalaman.
“Sampel organ dalaman telah diambil dan dihantar ke makmal untuk pemeriksaan lanjut.
“Kematian gajah berpunca daripada kegagalan fungsi organ dalaman.
Siasatan menunjukkan tiada unsur jenayah hidupan liar ke atas bangkai gajah tersebut,” katanya.
Bangkai gajah betina dianggarkan berumur antara sembilan hingga 10 tahun itu ditemui pekerja ladang pada 26 September lalu.
Berikutan penemuan itu, katanya pasukan penyiasat menjalankan post mortem ke atas bangkai gajah terbabit pada 27 September lalu.
Katanya, berdasarkan pemeriksaan fizikal terhadap bangkai gajah, hanya luka lama yang kecil djumpai dan tiada luka baharu dikesan. – Info X