SANDAKAN: Polis mengesahkan rakaman video memaparkan aksi pengambaran filem lucah yang tular di media sosial baru-baru ini, bukan berlaku di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, pihaknya sudah membuat siasatan dan mendapati tiada sebarang aktiviti pengambaran video lucah yang berlaku di daerah ini.
Katanya, masyarakat di daerah ini dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menularkan rakaman video lucah berkenaan.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak menyimpan sebarang video lucah kerana ia menyalahi undang-undang di negara ini.
“Individu yang menyimpan video lucah boleh di ambil tindakan mengikut Akta Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Abdul Fuad berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai lokasi kejadian berkenaan boleh menyalurkannya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Terdahulu, tular satu rakaman video yang memaparkan aksi pengambaran filem lucah di sebuah lokasi tepi pantai yang berlatar belakangkan sebuah batu besar di atas permukaan air laut.
Video itu tular di media sosial terutamanya dalam kalangan penduduk di daerah ini dan banyak spekulasi yang mengatakan ia berlaku di Sandakan. – Info X