KOTA KINABALU: Penganjur Songkran Sunset Splash Run dan pihak berkuasa tempatan (PBT) gagal mengambil kira sensitiviti masyarakat apabila mengadakan program ‘pesta air’ itu ketika ramai penduduk di bandar raya ini berdepan gangguan bekalan air.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook, berkata kecaman terhadap penganjur dan pihak berkuasa bukan disebabkan budaya yang dibawa masuk dari Thailand itu, sebaliknya berkaitan ketidakpekaan terhadap masalah semasa dihadapi rakyat setempat.
“Kita menghormati bahawa Songkran merupakan budaya dari negara luar dan sebagai masyarakat majmuk, saya tidak memperlekeh atau mengaibkan budaya mana-mana pihak selagi ia tidak bercanggah dengan nilai-nilai budaya dan norma tempatan.
“Namun demikian, kita juga tidak boleh mengetepikan realiti semasa yang dihadapi oleh rakyat Kota Kinabalu khususnya di Likas yang ketika ini sedang berdepan dengan isu gangguan bekalan air, berminggu lamanya memberi kesan besar kepada kehidupan harian penduduk.
“Saya bersama pasukan saya tidak henti-henti memantau kawasan yang terkesan dengan gangguan bekalan air ini dan memastikan Jabatan Air dapat membaiki kebocoran saluran paip tidak kira siang dan malam.
“Sehubungan itu, adalah wajar pihak penganjur serta pihak berkuasa tempatan mengambil kira sensitiviti masyarakat.
“Dalam keadaan rakyat berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air, penganjuran acara yang melibatkan penggunaan air secara besar-besaran boleh menimbulkan persepsi yang kurang baik dan dianggap tidak peka terhadap keadaan semasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Pemimpin Parti Warisan itu berpendapat, dengan mengambil kira situasi semasa, penganjuran pesta seperti itu sepatutnya ditangguhkan ke satu masa yang lebih sesuai.
Langkah ini, katanya bukan bertujuan menolak budaya tersebut, tetapi sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab terhadap kesulitan yang sedang dihadapi oleh rakyat.
“Saya ingin menegaskan bahawa setiap penganjuran acara awam perlu mengambil kira keseimbangan antara kepelbagaian budaya, tanggungjawab sosial dan situasi semasa rakyat.
“Ke hadapan, saya berharap agar semua pihak dapat lebih berhati-hati dalam membuat keputusan supaya keharmonian masyarakat terus terpelihara dan kepercayaan rakyat tidak terjejas,” katanya.
Sebelum ini, ADUN Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan dan pelbagai pihak lain turut mengkritik penganjuran program berkenaan sebelum Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengeluarkan kenyataan bahawa penganjurnya gagal mematuhi syarat yang ditetapkan.
Program itu diadakan pada Sabtu lalu. – Info X