Search

Pengarah klinik swasta ditahan SPRM, guna maklumat 880 pencarum PERKESO tuntut RM50,000

November 2, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Seorang pengarah klinik swasta ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki menggunakan maklumat 880 pekerja tanpa pengetahuan mereka bagi membuat tuntutan berkaitan program saringan kesihatan bernilai kira-kira RM50,000.

Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Cawangan Lahad Datu.

Difahamkan, suspek dipercayai mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan dana Program Saringan Kesihatan anjuran sebuah badan berkanun.

Siasatan awal mendapati perbuatan itu dipercayai dilakukan pada 2023 dengan menggunakan maklumat 880 pekerja yang juga pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Maklumat pekerja terbabit dipercayai digunakan tanpa pengetahuan mereka bagi tujuan permohonan dana program berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu.

“Suspek akan dilepaskan selepas proses mengambil keterangan selesai,” katanya. – Info X