Search

‘Pengaruh besar media sosial berbahaya’ – Nizam

January 20, 2025

Info X Reporters

RANAU: Media sosial mempunyai pengaruh yang besar dan berkuasa hingga boleh mencetuskan bahaya jika gagal ditangani dengan berkesan, kata Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Beliau berkata senario hari ini menunjukkan orang ramai mudah terpengaruh dengan apa saja yang disebarkan melalui media sosial.

Katanya, maklumat juga lebih mudah tersebar luas jika disebar oleh individu bergelar pempengaruh yang mempunyai pengikut yang ramai.

“Lambakan media sosial hari ini mewujudkan dunia tanpa sempadan sehingga maklumat tidak sahih mudah ditularkan dan kemudian diterima bulat-bulat tanpa memeriksa kesahihan sumber serta fakta berita berkenaan.

“Keadaan bertambah buruk jika maklumat itu disebarkan oleh individu yang memiliki pengikut ramai atau lebih dikenali sebagai ‘influencer’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada penutupan Bengkel Penerangan Zon 7 dan Zon 8 di Hotel Perkasa Kundasang, di sini, semalam.

Nizam menyampaikan cenderahati kepada Masidi.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Masidi Manjun.

Sementara itu, Masidi meminta pengguna media sosial agar memiliki ilmu asas serta kemahiran untuk menapis apa-apa maklumat yang diterima bagi memastikan kesahihan dan kebenaran.

“Apabila menerima maklumat yang tidak pasti kesahihannya, setiap kita perlu tenang, jangan tergopoh-gapah dan jangan tergesa-gesa cepat menerima berita dan perlu diselidik dan pastikan berita yang diterima terlebih dahulu,” katanya.

Tambah beliau, suatu yang penting ialah maklumat sewajarnya membantu kepada proses pembangunan dan kemajuan negara dan tidak sewajarnya diganggu-gugat dengan pelbagai dakyah dan fitnah yang boleh menimbulkan perpecahan dan salah faham.

“Apabila masuk berita dalam kumpulan WhatsApp, kita perlu tanya dapat dari mana? Betulkah apa disampaikan? Kadang-kadang kita pelik orang sebarkan berita gunakan ayat macam okey tetapi ada maksud lain sebenarnya,” katanya.

Masidi turut meminta pemimpin parti agar bersedia menguruskan media sosial dengan menyebar maklumat yang benar serta lebih proaktif bagi mengekang maklumat palsu.

Beliau berkata, penjelasan kepada rakyat melalui media sosial harus disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami, jelas, tepat dan berkesan.

“Kita tidak mahu rakyat dikelirukan dengan fakta yang salah dan songsang. Setiap dakyah harus dilawan dengan kebenaran.

“Tugas ketua penerangan menjadi tanggungjawab dan perjuangan kepada semua. Kita harus menang di media sosial jika ingin menang dalam pilihan raya akan datang,” katanya. – Info X