Search

Pengawal keselamatan ditetak, diikat 2 individu pecah masuk pejabat Imigresen

April 14, 2023

admin

TENOM: Seorang pengawal keselamatan cedera di tangan kiri selepas ditetak dua individu yang memecah masuk Pejabat Imigresen Tenom, di sini, semalam.

Kejadian antara jam 1 hingga 2 pagi itu, mangsa lelaki berusia lingkungan 30 tahun itu turut diikat oleh suspek sebelum memecah masuk pejabat Imigresen berkenaan.

Kedua-dua suspek dipercayai masuk melalui pintu belakang pejabat dengan memotong grill dan memecah masuk pintu.

Suspek kemudian beredar dengan memanjat pagar belakang dan menaiki kereta jenis sedan warna merah yang menunggu dibelakang halaman pejabat.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk Sharifah Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pengawal keselamatan itu sudah membuat laporan pada 12.41 tengah hari, semalam.

Katanya, Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu tiba di pejabat Imigresen Tenom pada 10.30 pagi tadi untuk membuat pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan awal berkenaan dengan peralatan pejabat dan perkakasan masih berfungsi dan tidak berlaku kerosakan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini supaya melaporkan ke pejabat polis yang berdekatan.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan apa-apa juga hebahan di mana-mana platform bagi mengelak sebarang spekulasi dan provokasi sehingga menjejaskan siasatan PDRM serta menggugat ketenteraman awam. – Info X