Search

Pengedar dadah diberkas, polis rampas 4 kilogram syabu bernilai RM240,000

January 21, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Polis berjaya merampas empat kilogram dadah jenis syabu bernilai RM240,000 dalam satu serbuan di sebuah kawasan perumahan di dalam bandar, di sini Khamis lalu.

Dalam operasi pada kira-kira jam 5.55 petang itu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun disyaki terbabit dengan pengedaran dadah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek warga tempatan itu ditahan susulan maklumat awam dan risikan yang dilakukan pihaknya.

Katanya, hasil maklumat yang diterima, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, terus bertindak menjalankan serbuan di sebuah taman perumahan di kawasan bandar berkenaan.

“Ketika serbuan, suspek cuba bertindak melarikan diri, namun berjaya diberkas selepas berlaku pergelutan.

“Hasil pemeriksaan ke atas plastik hitam yang dipegang oleh suspek mendapati terdapat empat bungkusan plastik teh cina bertulis ‘guanyinwang’ mengandungi bahan hablur disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Jasmin (tiga dari kiri) bersama pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau menunjukkan bungkusan berisi dadah syabu yang dirampas.

Menurutnya, polis juga turut merampas sebuah kereta milik suspek mengikut Seksyen 25(1) Akta Dadah Berbahaya Perlucutan Hak 1983.

“Semua barang rampasan termasuk dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 4,033.87 gram itu dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.

“Dadah yang dirampas ini dipercayai adalah untuk pasaran tempatan, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan rangkaian pengedaran dadah berkenaan.

Katanya, semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai 15 rekod lampau termasuk dua mengikut Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta pernah didakwa di mahkamah.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan turut mendapati suspek positif dadah jenis ketamine dan methamphetamine.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 26 Januari depan dan kes disiasat mengikut 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Jasmin berkata, polis ingin menegaskan bahawa mengedar, memiliki atau menyalahgunakan dadah adalah kesalahan jenayah disisi undang-undang.

“Kami sangat mengalu-alukan kerjasama serta maklumat daripada orang awam untuk bersama-sama membanteras kegiatan dadah di daerah ini,” katanya. – Info X