Search

Pengedar dicekup, rampas dadah syabu 100.35 gram

April 12, 2023

admin

TAWAU: Polis menahan lima individu termasuk seorang wanita kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dalam Op Tapis, semalam.

Semua suspek ditahan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di sebuah penginapan di daerah ini, jam 1.10 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah di sekitar kawasan penginapan, di sini.

Katanya, hasil risikan dan intipan yang dilaksanakan, berjaya menahan empat lelaki dan seorang wanita disyaki terbabit dengan aktiviti najis dadah.

Individu yang ditahan polis dalam Op Tapis di sebuah penginapan di Tawau. – Foto PDRM

“Sindiket ini menjadikan tempat penginapan sebagai lokasi kegiatan jenayah mereka dan cuba mengaburi mata pihak penguatkuasa.

“Polis turut berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 100.35 gram dalam operasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi hasil kerjasama polis dan masyarakat itu berjaya melumpuhkan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini

“Tiga daripada suspek ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952, manakala dua lagi mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

“Suspek kini ditahan reman dan siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti ahli sindiket yang terlibat serta sumber bekalan,” katanya. – Info X