SEMPORNA: Seorang pengedar dadah warga asing berusia 40-an ditahan polis dalam serbuan di Kampung Sri Jaya, di sini, Selasa lalu.
Dalam operasi jam 11.30 pagi itu, suspek ditahan bersama dadah disyaki jenis syabu seberat 200.54 gram.
Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintendan Jaafar Hakim berkata, tangkapan itu hasil risikan berhubung aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.
Katanya, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dengan bantuan Balai Polis Pulau Bum Bum berjaya menahan lelaki terbabit yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan terhadap beg silang hitam yang dibawa suspek menemui satu bungkusan plastik hitam berisi empat peket plastik cerah berisi hablur jernih disyaki syabu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM22,059 berdasarkan harga pasaran semasa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan,” katanya.

Jaafar menegaskan, pihak polis memandang serius sebarang bentuk pengedaran, pemilikan dan penyalahgunaan dadah di daerah itu.
Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras jenayah narkotik di Semporna. – Info X