KOTA KINABALU: Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) merekodkan pengendalian kargo sebanyak 532,391 TEU pada 2025, berbanding 386,293 TEUs pada tahun sebelumnya.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick, berkata peningkatan ketara itu menjadi petunjuk pertumbuhan ekonomi negeri.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, pencapaian itu juga menunjukkan keperluan meningkatkan kecekapan pelabuhan dalam menyokong perdagangan, industri dan pelaburan di Sabah.
“Pelabuhan bukan sekadar pusat logistik tetapi menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan industri, perdagangan dan pelaburan negeri.
“Kecekapan dan daya saing pelabuhan akan menentukan sejauh mana kita mampu menarik pelabur serta meningkatkan kedudukan Sabah dalam rantaian perdagangan serantau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 LPPS di Sutera Harbour, di sini, pada Rabu.
Ewon berkata, selaras dengan aspirasi ‘Better Ports, Better Sabah’, pembangunan pelabuhan perlu terus diperkasa agar lebih moden, cekap dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan industri semasa.
Katanya, projek pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP) yang dijangka siap pada akhir tahun depan diyakini mampu meningkatkan kapasiti serta kecekapan pengendalian pelabuhan di negeri ini.
“Usaha ini akan memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab logistik serantau serta membuka lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui sektor pelabuhan berdepan beberapa cabaran operasi termasuk di Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar, Pelabuhan Tawau dan Pelabuhan Sandakan.
Namun katanya, kerajaan negeri mengambil pendekatan proaktif dan bersepadu bagi memastikan setiap isu ditangani secara berkesan dan berterusan.
“Antaranya termasuk pelaksanaan lapan Pelan Tindakan Interim yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Februari lalu serta sesi libat urus bersama pemain industri pada 5 Mac.
“Seterusnya, saya turut mempengerusikan Task Force Memantau Pelaksanaan Inisiatif-Inisiatif Interim itu yang bersidang pada 21 April.
“Saya juga turun padang ke beberapa pelabuhan bagi meninjau sendiri situasi dan memastikan isu-isu yang berbangkit ditangani dengan segera,” katanya.
Ewon berkata, hasil pendekatan itu menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan keyakinan dalam kalangan pengguna pelabuhan terhadap usaha penambahbaikan yang dilaksanakan. – Info X