KOTA KINABALU: Penggiat seni dan industri kreatif Sabah diminta supaya memanfaatkan peruntukan lebih RM130 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi memajukan sektor perfileman, muzik dan kandungan kreatif tempatan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai, berkata peruntukan Kerajaan Persekutuan itu membuka peluang kepada penggiat tempatan untuk menghasilkan karya berkualiti, meningkatkan profesionalisme dan menembusi pasaran lebih luas.
“Manfaatkan sepenuhnya peeuntukan RM130 juta ini untuk membantu menghasilkan karya berkualiti dan mampu menembusi pasaran lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat delegasi Pertubuhan Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (KREATIF SABAH), diketuai pengerusinya, Chester Pang, di pejabatnya di Menara Kinabalu, baru-baru ini.
Joniston turut berharap Belanjawan Negeri Sabah 2027 yang dijadual dibentangkan November ini memberi perhatian kepada pembangunan industri seni dan kreatif negeri.
Dalam pertemuan hampir dua jam itu, KREATIF SABAH membentangkan peranan, aktiviti dan hala tuju gabungan berkenaan, selain mengemukakan dua kertas cadangan, iaitu penubuhan Hab Kreatif Bandaraya Kota Kinabalu (KKCity C-Hub) dan Orkestra Bandaraya Kota Kinabalu (OBKK).
Kedua-dua pihak turut membincangkan cadangan berkenaan serta potensi pembangunan industri seni dan kreatif di Sabah.
Joniston berkata, KREATIF SABAH yang menghimpunkan 11 persatuan seni dan kreatif di negeri ini, berpotensi menjadi platform untuk mengenal pasti keperluan industri, menyelaraskan cadangan pembangunan serta menghubungkan komuniti kreatif dengan kerajaan.
Usaha itu juga katanya, berpotensi menyokong aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) melalui pembangunan industri kreatif yang lebih terancang, sekali gus membuka peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada bakat tempatan.
Sementara itu, KREATIF SABAH berharap kunjungan berkenaan menjadi asas kepada kerjasama berterusan antara kerajaan dengan penggiat industri bagi memperkukuh ekosistem seni dan kreatif serta meningkatkan sumbangannya kepada ekonomi Sabah.-Info X