KOTA KINABALU: Dua lelaki tempatan yang dipercayai dalang dan keldai sindiket pengedaran dadah di negeri ini ditahan dan merampas dadah jenis syabu seberat 24.5 kilogram dianggarkan bernilai RM800,000, pada 7 November lalu.
Kedua-dua suspek berusia 24 dan 28 tahun yang bekerja sebagai penghantar makanan dan ejen insurans ditahan sepasukan polis dari Narkotik Lapangan Terbang Kota Kinabalu bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di dua lokasi di sekitar bandar raya ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, suspek pertama yang juga anak kelahiran Sabah itu ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), pada 8.30 pagi.

Katanya, suspek itu didapati membawa barang larangan menggunakan beg yang dibawa ke dalam pesawat atau ‘hand carry baggage’.
“Bertindak dengan maklumat risikan berkenaan aktiviti sindiket pengedaran dadah, sepasukan polis dari Narkotik Lapangan Terbang Kota Kinabalu bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah membuat pemantauan terhadap penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu.
“Seorang lelaki iaitu penghantar makanan berusia 24 tahun ditahan bersama dua beg bagasi dan selepas diperiksa beg itu mengandungi 23 kotak bungkusan ‘Rich & More!’.
“Pemeriksaan lanjut menemui 24.5 kilogram syabu yang dianggarkan bernilai RM800,000 mengikut harga pasaran,” katanya dalam sidang media di IPK Sabah, di sini, hari ini.

Jauteh berkata, soal siasat terhadap suspek itu membawa kepada tangkapan kedua iaitu lelaki berusia 28 tahun yang bekerja sebagai ejen insuran disyaki antara dalang sindiket pengedaran dadah di Sabah.
“Buat masa ini polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti bagaimana suspek memperoleh bekalan dadah di semenanjung.
“Kita juga menumpukan siasatan terhadap faktor bagaimana suspek boleh membawa bekalan dadah menaiki penerbangan masuk ke negeri ini.
“Dengan penahanan kedua-dua suspek, polis turut merampas pelbagai barangan antaranya barang kemas, telefon bimbit, komputer riba, dan wang tunai,” katanya.
Katanya lagi, tangkapan ini juga adalah kejayaan pihak JSJN IPK Sabah menumpaskan satu sindiket yang menggunakan penerbangan awam.
“Berdasarkan hasil soal siasat terhadap suspek pertama, polis tidak menolak kemungkinan suspek terbabit dalam jenayah lampau selepas suspek mengaku pernah membawa dadah ke negeri jiran yang bernilai RM10,000 sebelum ini.
“Suspek pertama dipercayai berperanan sebagai keldai dadah iaitu suspek akan menyelesaikan kerja untuk mengambil dadah dari Kuala Lumpur dan akan menghantar ke lokasi yang diarahkan oleh sindiket atasan.
“Suspek menerima upah sebanyak RM1,000 untuk setiap satu kilogram dadah yang dibawa masuk ke Sabah.
“Hasil siasatan juga mendapati bekalan dadah yang dibawa dari semenanjung ini adalah untuk kegunaan pasaran tempatan yang boleh diedarkan kepada 81,000 pengguna,” katanya.
Tambahnya, polis juga positif bahawa akan ada tangkapan susulan hasil siasatan terperinci bagi membasmi kegiatan penyalahgunaan dadah di negeri ini.
“Kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 15 November ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa kepada hukuman mandatori atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan,” katanya. – Info X