Search

Penginapan guru, pelajar, surau sekolah pondok tahfiz di Kundasang musnah terbakar

March 28, 2023

admin

RANAU: Penginapan guru, pelajar dan surau milik Sekolah Pondok Tahfiz Bidayahtul Hidayah, Kampung Kundasang Lama, di sini, musnah dalam kebakaran petang tadi.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan guru serta pelajar sempat keluar menyelamatkan diri.

Keadaan penginapan dan surau yang terbakar. – Foto Bomba

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.27 petang.

Katanya, seramai 12 anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke tempat kejadian.

Pasukan bomba memadam kebakaran membabitkan penginapan dan surau sekolah tahfiz di Kundasang. – Foto Bomba

“Sebaik tiba didapati penginapan guru, pelajar dan surau milik sekolah Tahfiz Bidayahtul Hidayah jenis separuh kekal sedang terbakar dengan usaha mengawal api terus dilakukan.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dua pancutan dengan sumber air terbuka daripada sungai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, laluan masuk ke lokasi yang sempit menyebabkan jentera tidak dapat masuk sehingga ke lokasi kebakaran dan ia menyukar operasi pemadaman dilakukan.

Pasukan bomba menggunakan air sungai untuk memadam kebakaran. – Foto Bomba

“Kebakaran itu memusnahkan 80 peratus penginapan guru, pelajar dan surau. Operasi dilaporkan terkawal pada 5.30 petang dan ditamatkan pada jam 7.27 malam.

“Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X