Search

Pengusaha restoran makanan laut lepaskan lobster berharga RM1,600 kerana bertelur

October 13, 2023

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Pengusaha sebuah restoran makanan laut, di sini, sanggup kerugian RM1,600 apabila membuat keputusan melepaskan seekor ‘lobster’ atau udang kara hidup seberat lebih tiga kilogram dari dalam akuarium premis berkenaan.

Berdasarkan video yang dimuat naik KenTash Channel yang juga rakan kongsi promosi premis terbabit, udang kara berkenaan yang sedang sarat bertelur dilepaskan di laut pantai Tanjung Aru, di sini, baru-baru ini.

Tindakan itu bagi menyelamatkan ribuan telur hidupan laut berkenaan yang dilihat sudah mahu menetas dengan harapan ia dapat terus membiak dan membesar di habitat asalnya di laut.

Udang kara berkenaan yang sebelum ini disimpan dalam akuarium Tanjung Seafood Restaurant di Plaza Tanjung Aru, di sini, adalah sebahagian ‘stok’ makanan laut hidup untuk dipilih sebagai hidangan pelanggannya.

Lobster yang sarat bertelur dilepaskan di laut pantai Tanjung Aru, Kota Kinabalu.

Namun, apabila dilihat isteri pengendali KenTash Channel, timbul rasa simpati terhadap hidupan laut itu yang disifatkannya wajar dilepaskan di laut supaya telur yang melekat di bawah perut udang kara itu boleh menetas.

Alasannya, dia mahu memastikan spesies udang kara itu dapat terus membiak di habitat asalnya memandangkan hidupan marin itu semakin pupus berikutan penangkapan berleluasa untuk industri makanan laut.

Berikutan itu, mereka mengambil keputusan untuk mengeluarkan udang kara itu dari akuariumnya sebelum ditimbang dan dibawa ke pantai Tanjung Aru untuk dilepaskan di perairan pantai berkenaan.

Dua rakaman video mengenai udang kara itu yang dimuat naik KenTash Channel sudah ditonton ratusan ribu pengguna Facebook, selain mendapat pelbagai pujian dan sokongan daripada netizen yang melihat klip video berkenaan.

Lobster dari akuarium Tanjung Seafood Restaurant dibawa ke pantai Tanjung Aru untuk dilepaskan.

Pemilik Tanjung Seafood Restaurant menyifatkan tindakan murni itu sebagai antara sumbangan sosialnya terhadap usaha untuk memelihara hidupan marin yang berdepan ancaman kepupusan akibat lampau tuai di Sabah.

Udang kara atau lobster adalah antara makanan laut yang dikategorikan sebagai hidangan mewah yang biasanya hanya mampu dibeli golongan berada, termasuk pelancong asing yang datang ke Sabah untuk menikmati makanan lautnya. – Info X